BANDAR SERI PUTRA - Kira-kira 200 peserta pelbagai peringkat usia menyertai program kayuhan Fun Ride 2018 Movember yang dianjurkan oleh Bangi Heights Development Sdn Bhd (Bangi Heights) dengan kerjasama National Canser Society Malaysia (NCSM) dan sokongan United Malayan Land Bhd (UMLAND).

Lebih menarik, program yang berlangsung di Bandar Seri Putra itu bukan sekadar program kayuhan basikal semata-mata, sebaliknya turut diselitkan dengan kempen kesedaran kanser di kalangan lelaki.

Ketua Subsidiari Bangi Heights, Hadyan Ibrahim berkata, penganjuran program kali ini lebih unik apabila pertama kali berkolaborasi bersama NCSM menyokong kempen kesedaran kanser di kalangan lelaki.

Kanak-kanak turut tidak melepaskan peluang menyertai Fun Ride 2018 Movember.

"Ini pertama kali berkolaborasi bersama NCSM, jika sebelum ini kita anjurkan semata-mata untuk riadah dan kesukanan.

"Dan kita sengaja memilih bulan November untuk program Fun Ride 2018 bersempena dengan gerakan Movember khususnya berkaitan kesedaran kanser di kalangan lelaki sebab kalau kita tengok golongan ini dilihat kurang terbuka dan jarang bercakap berkenaan kanser di kalangan mereka sendiri.

"Jadi selain dapat menggalakan mereka terlibat dengan gaya hidup bersukan, secara tidak langsung kita dapat memupuk kesedaran itu dan kita nak mulakan di pelbagai peringkat umur bukan sahaja di kalangan orang dewasa," katanya.

Hadyan (kiri) ketika menyerahkan sumbangan kepada Rozita (kanan). Turut kelihatan, Penolong Pengurus Besar Pengurusan Bandar Bangi Heights, Yasmin Daud (tengah).

Dalam program sama, Hadyan turut menyerahkan sumbangan sebanyak RM 1,000 bagi pihak Bangi Heights kepada Penolong Pengarah Projek NCSM, Rozita Abu Hashim.

Selain itu, Hadyan menjelaskan peserta yang menyertai program berkenaan terdiri daripada pelbagai peringkat usia termasuk residen Bandar Seri Putra, pelajar institusi pengajian tinggi serta peminat sukan berbasikal di sekitar Bangi.

Katanya, atas dasar tanggungjawab sosial juga, program berkenaan dianjurkan secara percuma di mana peserta tidak dikenakan sebarang yuran penyertaan.

"Jadi, ini antara salah satu cara bagi kita di pihak Bangi Height untuk menyumbang semula kepada komuniti dan masyarakat.

Laluan kayuhan sepanjang program turut memberi peluang kepada peserta melihat dan menikmati suasana dan pembangunan di Bandar Seri Putra.

"Malah laluan kayuhan sejauh 15 KM di sekitar Bandar Seri Putra juga secara tidak langsung dapat memberikan gambaran lebih dekat tentang pembangunan bandar ini kepada peserta.

"Kita juga bercadang untuk terus menganjurkan program ini untuk tahun hadapan dan mungkin kita bakal merancang penganjuran dalam skala yang lebih besar," katanya.

Sementara itu, Rozita berkata, pihaknya menyambut baik kolaborasi bersama Bangi Heights serta sokongan dalam kempen kesedaran kanser khususnya kempen Movember ini.

Sebahagian peserta Fun Ride 2018 Movember yang menyertai program berkenaan, semalam.

"Movember ini adalah gerakan atau kempen kesedaran kesihatan di kalangan lelaki, dan dalam konteks penyakit kanser ini lelaki sebenarnya terdedah kepada risiko kanser prostat, paru-paru dan sebagainya

"Sekarang ini kanser seringkali dikaitkan dengan golongan wanita seperti kempen kanser payudara dan sebagainya, saya tidak pasti sebab apa namun amat jarang kita lihat golongan lelaki berbicara soal risiko kanser di kalangan mereka.

"Justeru, sokongan terhadap kempen ini, saya kira amat baik terutama dalam program seperti ini, selain mengamalkan gaya hidup sihat peserta juga dapat kesedaran menerusi maklumat yang kita berikan," katanya.