SHAH ALAM - Kempen PRK Dun Seri Setia bakal melabuhkan tirai selepas setiap calon melalui siri kempen selama 21 hari hasil penambahbaikan dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Dalam tempoh itu, calon PH, Halimey Abu Bakar dan calon Pas, Dr Halimah Ali pastinya menggunakan kesempatan untuk turun ke semua kawasan bagi merayu undi dan mendekati masyarakat setempat.

Berdasarkan rekod, kerusi Dun Seri Setia dilihat merupakan kubu kuat PKR sejak 2008 lagi malah jumlah majoriti yang diperolehi parti itu juga agak tinggi.

Ini dapat dilihat menerusi PRU14 lalu dimana penyandang kerusi itu, Allahyarham Prof Dr Shaharuddin Badaruddin menang dengan majoriti 19,372 undi menewaskan calon BN, Yusoff M Haniff; calon Pas, Mohd Ghazali Daud dan calon Bebas, S Vigneswaran.

Namun jumlah kemenangan majoriti itu tidak boleh menjadikan PH terlalu selesa berikutan barisan pembangkang begitu agresif dan menginginkan kerusi tersebut.

Halimey giat turun berkempen untuk menemui golongan sasar secara terus

 

Jika dilihat daripada x-factor kedua-dua calon, calon Pas pastinya lebih menyerlah dengan meletakkan Halimah sebagai sandaran mereka untuk merampas kemenangan di kubu kuat PH itu.

Sebagaimana sedia maklum, Halimah bukannya pendatang baharu dalam arena politik Selangor malah beliau juga pernah berkhidmat sebagai Adun Selat Klang dan berada sebaris dengan barisan kepimpinan exco Kerajaan Selangor sebelum ini.

Pengalaman dan latar belakang Halimah yang agak hebat menunjukkan betapa seriusnya barisan pembangkang ingin menawan kerusi itu yang menjadi deposit tetap buat PH selama ini.

Tambahan pula, berdasarkan perkembangan semasa di mana hubungan 'mesra' antara Pas dan Umno pada masa kini, ia dilihat dapat mengugat kedudukan PH di kerusi itu.

Pimpinan-pimpinan Pas dan Umno juga dilihat bersama-sama mencapai kata sepakat bagi membantu kempen Halimah pada kali ini.

PH masih dapat sokongan

Walaupun PH tidak meletakkan nama besar untuk bertanding, namun Halimey dilihat masih mendapat sokongan penduduk setempat berikutan beliau merupakan anak tempatan di kawasan itu Perkembangan ini sedikit sebanyak memberi nilai tambah buat PH malahan mereka turut mempunyai kekuatan jentera yang hebat untuk digerakkan bagi membantu Halimey.

Pengalaman Halimey sebagai ahli majlis ternyata memberi kelebihan buat beliau untuk turun berkempen secara terus kepada golongan sasar.

Di samping itu, Halimey juga turut menjadi 'mastermind' pada PRU14 lalu selepas bertindak sebagai Pengarah Pilihanraya Dun Seri Setia bagi memastikan kemenangan Allahyarham Shahruddin.

Kelebihan dimiliki Halimey itu membolehkan beliau melihat secara terus kehendak dan keinginan pengundi di kawasan itu.

Namun begitu, pihak manakah lebih menyerlah sejak hari pertama kempen memandangkan sokongan terhadap kedua-dua calon dilihat agak seimbang? Penganalisis dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata, walaupun kredibiliti Halimah lebih menyerlah dari aspek pengalaman dan latar belakang, namun ia ditenggelamkan oleh beberapa isu besar antaranya kerjasama antara Umno-Pas.

Beliau berkata, perkembangan semasa seperti isu cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dilihat tidak begitu memberi kesan kepada PH untuk mendapat sokongan rakyat.

PRK Dun Seri Setia menyaksikan perkembangan menarik susulan kerjasama pimpinan Pas dan Umno

 

"Dun Seri Setia merupakan kawasan bandar dan kebanyakkan masyarakat di sini terdedah kepada maklumat serta memahami isu ini. Jadi isu-isu ini tidak begitu memberi kesan kepada PH.

"PH masih dapat sokongan dan saya percaya mereka mampu mempertahankan kemenangan di sini melalui kekuatan jentera yang dimiliki,"katanya.

Berdasarkan kenyataan pemerhati politik tersebut secara jelas menunjukkan bahawa peluang buat Halimey masih terbuka dan PH tidak boleh terlalu selesa dengan kemenangan pada PRU14 lalu.

Pastinya ada strategi tersendiri yang akan diguna pakai oleh kedua-dua pihak menjelang hari-hari terakhir ini berikutan peluang kini dilihat sama rata

Bagaimanapun, pengundi juga perlu menunaikan tanggungjawab mereka agar peratusan keluar mengundi pada kali ini tidak berlaku seperti di PRK Dun Sungai Kandis.Halimey giat turun berkempen untuk menemui golongan sasar secara terus.