PERJALANAN hari-hari awal kempen PRK Dun Seri Setia dilihat masih berlangsung dengan tenang di mana setiap calon masih dilihat belum 'panas enjin' bagi bergerak lebih agresif untuk bertemu pengundi.

Tempoh berkempen yang panjang iaitu selama 21 hari pastinya tidak begitu menekan pergerakan jentera untuk turun ke akar umbi bagi memberi penerangan kepada masyarakat setempat.

Dalam pengumuman calon sebelum ini, umum mengetahui bahawa Pas meletakkan bekas Adun Selat Klang, Dr Halimah Ali sebagai calon manakala PH pula mempertaruhkan muka baharu iaitu bekas Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Halimey Abu Bakar.

Jika di atas kertas, Halimah dilihat lebih mendahului Halimey berikutan beliau mempunyai pengalaman sebagai Adun malah turut pernah berkhidmat di dalam barisan pentadbiran Exco Selangor sebelum ini.

Tambahan pula, rekod Halimah yang bersih sewaktu berkhidmat sebagai Adun sebelum ini turut menjadi penanda aras terhadap kecemerlangan pentadbiran beliau.

Namun begitu, walaupun sebagai calon baharu, Halimey juga tidak boleh dipandang rendah oleh lawannya kerana beliau juga merupakan anak tempatan dan pernah berkhidmat sebagai ahli majlis di kawasan itu.

Hubungan baik antara beliau dan masyarakat setempat dapat menjadi 'bonus' buat PH bagi meraih sokongan rakyat pada kali ini.

Tambahan pula, rekod kemenangan PKR di situ sejak tahun 2008 dengan pertambahan jumlah undian majoriti dalam setiap kali PRU pastinya bakal memberi laluan sukar buat calon Pas untuk merampas kemenangan di sana.

Namun dalam era pentadbiran Malaysia baharu ini, adakah rakyat akan membuat pilihan berdasarkan calon atau pun parti yang bertanding?

Pengundi lebih utamakan isu

Dalam hal ini, Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian berpendapat bahawa pengundi pada masa kini tidak melihat kepada kedua-dua aspek (calon atau parti) berkenaan namun lebih menumpukan kepada isu-isu yang dibawa oleh setiap calon.

Menurut beliau, sokongan pengundi pada masa kini boleh berubah-ubah dan mereka lebih cenderung untuk memberi sokongan berdasarkan isu yang dibawa.

"Sebab itu kalau kita lihat sekarang sudah ramai yang tidak berkepartian dan tidak setia kepada mana-mana pihak.

"Mereka bergantung kepada isu untuk memberi sokongan tapi pada masa sama latar belakang calon itu dapat memberi nilai tambah bagi meningkatkan sokongan terhadap parti masing-masing,"katanya.

Di samping itu, Sivamurugan turut menjangkakan tren penurunan jumlah peratusan keluar mengundi pada PRK Seri Setia kali ini akan berterusan berikutan sentimen PRU14 lalu masih segar dalam ingatan pengundi.

Menerusi kenyataan daripada pemerhati politik tanah air ini secara jelas membuktikan bahawa aspek pemilihan calon atau pun parti hanyalah menjadi nilai tambah kepada peningkatan sokongan pengundi.

PH dan Pas perlu merencanakan strategi masing-masing bagi menarik sokongan pengundi terhadap parti masing-masing menjelang hari pengundian pada 8 September depan.

Isu kegagalan 100 janji PH tak relevan

Sebelum ini, Timbalan Presiden Pas menyatakan bahawa antara isu yang akan dibawa oleh parti Islam itu pada PRK kali ini adalah melibatkan kegagalan PH menunaikan janji 100 hari dan ketidakseimbangan komposisi wakil rakyat dalam Sidang Dun Selangor.

Halimey pula menerusi kenyataan sebelum ini menyatakan bahawa pihaknya akan memberi fokus bagi meningkatkan ekonomi golongan B40 di Dun itu di samping memberi perhatian terhadap kemudahan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang dan Desa Mentari.

Penganalisis Politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib berkata, isu kegagalan janji 100 hari PH kini tidak releven untuk di bawa pada PRK Seri Setia memandangkan pelaksanaan perkara itu melibatkan banyak urusan-urusan teknikal.

"Pas ketandusan idea apabila ingin bawa isu kegagalan janji 100 hari PH pada kali ini.

"Pada saya isu janji 100 hari PH ini, biarlah ia lambat asalkan selamat kerana banyak perkara teknikal melibatkan manifesto ini.

"Dalam dalam hal ini kita tak boleh paksa kerajaan melaksanakannya dalam masa yang singkat walaupun mereka berjanji kerana selepas peralihan kuasa, banyak implikasi yang dilihat bakal timbul jika janji itu dilaksana secara tergesa-gesa,"katanya.

Bagi Md Shukri, Pas perlu lebih mengutamakan isu-isu setempat bagi menarik sokongan rakyat terhadap mereka menjelang hari pengundian nanti.

Walau apa pun isu yang dibawa oleh Pas pada kali ini, mereka ternyata tidak bersendirian apabila Umno secara terbuka menyatakan sokongan bagi membantu calon parti Islam itu dalam usaha untuk menguatkan suara pembangkang.

Pastinya kerjasama Pas-Umno bakal mewujudkan ramuan tersendiri bagi menarik sokongan rakyat dalam memenangkan calon 'pembangkang' pada kali ini.

PH pula tidak boleh terlalu selesa dalam pergerakan kempen mereka walaupun PKR mencatatkan kemenangan besar di Seri Setia pada PRU14 lalu.

Dengan menggunakan logo Harapan pada kali ini, jentera PH perlu bekerja keras dalam memberi kefahaman kepada pengundi bagi mengelakkan kekeliruan timbul sewaktu hari pengundian kelak.