KUALA SELANGOR – Sebuah premis yang menjalankan perniagaan jualan beg tiruan jenama terkenal atas talian diserbu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Selangor.

Ketua Pegawai KPDNKK Daerah Kuala Selangor, K Ramesh menjelaskan, serbuan terhadap premis selepas aduan wakil cap dagang Bonia dan Carlo Rino yang mendakwa terdapat jualan barangan tiruan beg jenama terbabit.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati pemilik premis yang merupakan seorang lelaki berusia lingkungan 30-an melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011.

“Lelaki terbabit menawarkan beg tangan wanita yang dijual atas talian menggunakan satu perihal dagangan palsu dengan jenama Bonia, Carlo Rino, LV dan Gucci.

“KPDNKK Kuala Selangor merampas 67 unit beg tangan, beg silang dan dompet dengan nilai rampasan dianggarkan RM4,700 untuk siasatan lanjut,” katanya kepada Sinar Harian.

Ramesh berkata, sekiranya disabitkan kesalahan, peniaga terbabit boleh dihukum tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barangan atau dipenjara tidak melebihi tempoh dari tiga tahun.

“Sekiranya kesalahan dilakukan sesuatu pertubuhan badanan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barangan.

“KPDNKK Kuala Selangor turut mengingatkan kepada peniaga supaya memberhentikan penjualan barangan tiruan berjenama atau mereka bakal dikenakan tindakan lebih tegas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada serbuan bersama tujuh pegawai penguat kuasa dan wakil cap dagang Bonia dan Carlo Rino.

Katanya, pihaknya juga akan memantau premis yang menjual barang tiruan dan tindakan tegas akan diambil terhadap premis atau peniaga yang masih berani menjual barang berkenaan walaupun berada di luar bandar serta jauh dari lembah Klang.

“Usaha pemantauan akan diteruskan bagi membanteras aktiviti jualan barangan tiruan ini,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SETIA ALAM - Penjual cakera padat video (VCD) cetak rompak berdesup melarikan diri selepas menyedari kehadiran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor.
  • BATU KURAU - Kementerian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) berbesar hati melaksanakan tanggungjawab dengan memberi sumbangan kepada 44 keluarga yang kurang berkemampuan di Dun Batu Kurau.
  • SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor memeriksa premis jualan di Stadium Shah Alam bagi memastikan peniaga tidak melakukan kesalahan.
  • TELUK INTAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Teluk Intan berjaya mencatat nilai rampasan berjumlah RM190,000 membabitkan 92 kes bermula Januari tahun ini sehingga minggu lalu.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.