KUALA LUMPUR - Polis menahan enam lelaki bagi membantu siasatan selepas dipercayai terlibat melarikan seorang wanita di sebuah kafe di pusat membeli belah di Setapak, di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa berkata, kesemua mereka berusia antara 34 hingga 54 tahun.

Menurutnya, penahanan dibuat bermula kira-kira jam 1 pagi tadi, di Batu Caves dan Kinrara di Selangor serta Nilai, Negeri Sembilan.

"Semakan telah dibuat, dapati kesemua suspek bekerja sendiri dan dua daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau," katanya.

Rusdi turut menjelaskan bahawa pihaknya juga akan mengambil keterangan terhadap individu yang menyewakan kereta kepada suspek.

Katanya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik dan Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.20 pagi itu, seorang wanita berusia 26 tahun berdepan detik cemas apabila dilarikan tiga lelaki menaiki Toyota Alphard ketika sedang menunggu seseorang bagi urusan perniagaan.

Mangsa bagaimanapun dibebaskan di satu kawasan di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) pada pukul 5.30 petang.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MELAKA TENGAH - Kes cubaan menculik seorang kanak-kanak perempuan yang tular di media sosial termasuk aplikasi WhatsApp memang benar-benar berlaku di Lorong 19 Bukit Piatu, petang kelmarin.
  • ALOR SETAR - Polis Kedah menyelamatkan seorang remaja yang diculik dan dirogol penjenayah paling dikehendaki di negeri ini dalam operasi di Kuala Sungai, Yan, awal pagi tadi.
  • GOMBAK - Seorang kanak-kanak berusia lapan tahun hampir diculik di Taman Selaseh Fasa 2, di sini, sewaktu pulang dari sekolah agama Rabu lalu.
  • IPOH - Seorang wanita orang kurang upaya (OKU) yang dipercayai mangsa culik ditemukan mati di sebuah rumah di Regat Tasek Jaya Tiga, Taman Tasek Jaya di sini, malam tadi.
  • JITRA - Seorang bapa nyaris kehilangan anak perempuannya yang berusia empat tahun selepas keretanya dilarikan penjenayah di sebuah stesen minyak di Taman Mahsuri di sini, hari ini.