SHAH ALAM - Polis tengah malam tadi menahan dua lelaki secara berasingan di sekitar Ampang berhubung kes pergaduhan Isnin lepas membabitkan dua kumpulan mengakibatkan dua maut.
   
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohd Adnan Abdullah berkata tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki berumur 28 tahun yang bekerja sebagai juruteknik di sebuah premis di Desa Lembah Jaya, Ampang kira-kira pukul 12.20 tengah malam.
   
Beliau berkata seorang lagi lelaki ditahan kira-kira 25 minit kemudian di hadapan sebuah restoran di Taman Dagang, Ampang juga berumur 28 tahun dan bekerja sebagai pemandu bas.
   
"Kedua-dua lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan di mana seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
   
Mohd Adnan berkata polis turut merampas telefon bimbit, kereta, motosikal, topi keledar dan pakaian dari kedua-dua suspek itu.

Beliau berkata pakaian yang dirampas akan diserahkan kepada jabatan kimia untuk menyiasat kemungkinan ada kaitan dengan kes berkenaan. 
   
Dalam kejadian itu, dua lelaki maut akibat cedera parah di mana satu daripadanya berumur 25 tahun mati di tempat kejadian manakala seorang lagi berumur 21 tahun disahkan mati sejurus tiba di Hospital Ampang.
   
Kejadian bermula apabila sekumpulan kira-kira 10 lelaki yang bersenjatakan parang secara tiba-tiba datang dan menyerang kumpulan lelaki yang sedang melepak selepas bermain bola sepak di padang Kampung Ampangan Campuran.
   
Mohd Adnan berkata kedua-dua suspek terbabit ditahan reman sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
   
"Kita juga percaya kedua-dua lelaki ini turut terbabit dalam beberapa siri pergaduhan di sekitar Ampang sebelum ini," katanya.

Mengulas lanjut mengenai kes itu, beliau berkata polis tidak menolak kejadian itu mempunyai kaitan dengan geng kongsi gelap selain bermotifkan dendam
membabitkan kumpulan 10 lelaki yang menyerang kumpulan tujuh lelaki lain.
   
Sementara itu, dalam kes berasingan Mohd Adnan berkata polis menahan dua lelaki berhubung kes pergaduhan di Pangsapuri Sri Jati, Kelana Jaya pada 14 Nov lepas yang mengakibatkan seorang lelaki maut.
   
Katanya, kedua-dua lelaki masing-masing berumur 19 dan 30 tahun itu ditahan secara berasingan di Ara Damansara dan di bawah jambatan di Persiaran Barat berhampiran sebuah hotel di Petaling Jaya petang semalam.
   
Mohd Adnan berkata kedua-dua suspek itu ditahan reman sehingga 27 Nov ini dan dengan tangkapan itu polis percaya kes berkenaan telah selesai. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Tindakan bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan pegawai khasnya Faekah Husin memainkan isu tanah di Ijok sebagai modal kempen PRU14 adalah untuk membantu Umno dan BN.
  • SHAH ALAM - Dua maut dalam kemalangan jalan raya di Plaza Tol Batu Tiga, di sini, awal pagi tadi.
  • SHAH ALAM - Kenyataan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta Pengarah Strategik Komunikasi pejabatnya, Yin Shao Loong, didakwa gagal menjelaskan isu pokok berkaitan tanah di Ijok, Kuala Selangor.
  • SHAH ALAM - Golongan peniaga dan usahawan muda di Selangor bakal menikmati satu lagi bantuan dari segi sokongan dan khidmat nasihat pelbagai agensi melalui Pusat Transformasi Usahawan (ETC) yang dijangka akan mula beroperasi sekitar Mac 2018.
  • SHAH ALAM - Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS) mengumumkan pengambilalihan CPI (Penang) Sdn Bhd (CPI), sekali gus menjadi langkah permulaan dalam menerokai sub-sektor baharu di bawah industri pembuatan.