SERDANG – Pihak polis digesa membanteras habis-habisan pusat perjudian didakwa tumbuh bagai cendawan selepas hujan di sekitar kawasan Seri Kembangan.

Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baharu Selangor, Ean Yong Hian Wah berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada penduduk setempat yang  rimas dengan peningkatan premis menjalankan aktiviti haram itu sekaligus bimbang kawasan itu kini menjadi tumpuan kaki judi.

Ean Yong (duduk, kanan) menunjukkan gambar lokasi disyaki menjadi tempat penagihan dadah.

Beliau yang juga Adun Seri Kembangan berkata, tinjauan dibuat di Kampung Baharu Seri Kembangan, Pusat Perdagangan Seri Kembangan dan Serdang Perdana mengenalpasti lebih 20 premis termasuk perumahan dijadikan pusat perjudian sejak setahun lalu.

Pihaknya sudah mengumpulkan gambar dan alamat premis dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya kerana bimbang aktiviti tidak sah memberi impak negatif kepada masyarakat.