KUALA LUMPUR - Polis memberi amaran akan mengambil tindakan tegas kepada pemilik kondominium yang menganjurkan 'private party' menjurus kepada parti liar dan melibatkan penyalahgunaan dadah.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihaknya mendapati remaja kini beralih dan memilih berhibur secara ‘private party’ dianjurkan di kondominium mewah berbanding di kelab malam bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Seramai 41 individu termasuk sembilan perempuan diperiksa di tiga tiga kondominium di sekitar Jalan Abdullah Hukum dalam serbuan diadakan awal pagi Ahad lalu.

“Hasil ujian saringan urin dapati 12 lelaki dan dua wanita positif dadah jenis methamphetamine manakala empat lagi positif ganja. Kesemua mereka berusia 16 hingga 35 tahun termasuk dua pelajar sekolah,”

Mazlan berkata, pihaknya akan terus membuat serbuan seumpama itu untuk membanteras aktiviti salah guna dadah dan gejala tidak bermoral dalam kalangan remaja.

Dalam pada itu, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh berhubung dengan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di talian 03-21460708 atau bilik gerakan IPK Kuala Lumpur, 03-21460584.