KUALA LUMPUR - Polis menempatkan 1,486 anggota dan pegawai di Stadium Nasional Bukit Jalil sempena perlawanan akhir bola sepak Piala FA antara Selangor dan Pahang esok.

Langkah itu juga bagi memastikan perlawanan berkenaan lancar tanpa gangguan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihaknya juga akan meningkatkan kawalan keselamatan di dalam dan luar stadium.

"Pemeriksaan akan dilakukan sebelum pintu masuk. Selepas penonton memasuki stadium, petugas akan memeriksa badan dan beg yang dibawa oleh penyokong," katanya.

Menurutnya antara bahan terlarang yang ditegah dibawa masuk ialah mercun, bunga api, suar, topi keledar, laser, mancis dan pemetik api.

"Orang ramai juga dilarang membawa objek tajam seperti besi, kayu atau senjata seperti parang," katanya.

Mazlan berkata, pihaknya juga akan memastikan kelancaran trafik dan keselamatan orang ramai yang menuju ke stadium.

"Mereka disarankan menggunakan pengangkutan awam untuk ke stadium kerana parkir agak terhad dan patuhi arahan anggota polis yang bertugas," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur tadi.

Beliau berkata, pengguna jalan raya juga tidak dibenarkan meletakkan kenderaan di bahu jalan di sekitar laluan masuk dan keluar Bukit Jalil.

"Tindakan saman dan tunda akan diambil jika kita mendapati kenderaan tersebut menghalang lalu lintas," katanya.

Mazlan turut menegaskan akan mengambil tindakan sekiranya terdapat penyokong yang melanggar arahan mengikut peruntukan undang-undang.

"Mereka dinasihatkan menjaga tatasusila dan tidak melakukan provokasi melampau sehingga mencetuskan kekacauan sewaktu mahu pun selepas perlawanan tersebut," katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H S Lee ditalian 03-2071999 atau Pusat Kawalan Polis Kuala Lumpur ditalian 03-21460532 sambungan 584/585.