KUALA LUMPUR - Seorang anggota wardan trafik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) cedera parah apabila kakinya digilis sebuah lori tanah 10 tan dalam kemalangan di Jalan Tun Razak, semalam.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, mangsa, A.Ravichandran, 28, yang sedang dalam tugas, menunggang motosikal penguat kuasa ke arah Bulatan Loke Yew menuju ke Institute latihan DBKL, Bandar Tun Razak, Cheras.

Sumber berkata, kejadian bermula apabila lori tanah yang berada di kiri jalan menukar laluan ke arah kanan secara mengejut sebelum melanggar mangsa.

Mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian betisnya akibat digilis lori tanah.

"Akibat pelanggaran itu mangsa tercampak dan motosikal mangsa terseret ke laluan kiri sebelum terkena sebuah lori ais.

"Mangsa yang berada di laluan kanan telah digilis tayar lori tanah berkenaan di bahagian betis," katanya kepada Sinar Harian.

Mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (DBKL) bagi mendapatkan rawatan kecemasan dan difahamkan masih dalam zon merah.