petani rugi dapat pampasan
$entry.content.caption.value

SABAK BERNAM – Pekebun tanaman pisang yang mengalami kerugian berikutan serangan Penyakit Moko diberikan jaminan pampasan daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA).

Menterinya, Datuk Seri Noh Omar berkata, pihaknya akan meneliti laporan yang akan diberikan Jabatan Pertanian untuk memastikan jumlah sebenar pampasan yang boleh diberikan.

“Kita minta laporan disediakan secepat mungkin dan pampasan yang diberikan itu bergantung kepada laporan yang diberikan kepada kita untuk kita timbangkan dengan peruntukan yang ada.

“Kita akan bagi pampasan kepada pekebun yang terlibat dengan serangan penyakit Moko dan bukannya ganti rugi. Kita akan bagi, tetapi kita masih belum dapat sebutkan nilainya selagi belum menerima laporan lengkap,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai serangan penyakit Moko atau penyakit layu bakteria pisang yang menyerang daerah ini, khususnya di Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Air Tawar ketika ditemui dalam MOA Bersama Rakyat di Sekolah Kebangsaan Doktor Abdul latiff (SKDAL) di sini

Pada masa sama, Noh turut mengalu-alukan pihak Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Dr Yaakob Sapari, membantu pekebun dengan peruntukan yang dijanjikannya.

“Kalau mereka boleh berjanji untuk membantu pekebun kita alu-alukan mereka melakukannya terlebih dahulu. Jika masalah bencana banjir yang menyebabkan petani (padi) mengalami kerugian, kita tunaikan apa yang dijanjikan.

“Kita sudah pun memberikan bantuan ihsan berjumlah RM922,401 kepada 982 petani yang terbabit dalam bencana banjir itu, bagaimana pula dengan janji yang diberikan mereka kepada petani, sudah tertunai atau belum?

Terdahulu, Yaakob memaklumkan sebanyak RM1 juta diperuntukkan untuk membangunkan Sabak Bernam menerusi program Asset Base Community Development (ABCD) ketika Majlis Bertemu Petani dan Pengusaha Industri Asas Tani di perkarangan Balai raya Kebun Baru, 12 Febuari lalu.

Noh berkata, Sabak Bernam terkenal sebagai kawasan yang terlibat dalam bidang pertanian dan pada masa sama ia juga kubu kuat Barisan Nasional (BN).

“Kita juga akan mempertahankan Parlimen Sabak Bernam dan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Air Tawar dan Sabak Bernam, demi sayangkan Selangor, rakyat hidup harmoni dan sejahtera,” katanya.


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.