SHAH ALAM -  Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) termasuk agensi berkaitan diminta segera mempercepatkan perobohan kesemua struktur Plaza Tol Batu Tiga dan Sg Rasau yang dimansuhkan sejak 1 Januari lalu.

Penyelaras BN Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari berkata, tindakan tersebut perlu dilaksanakan segera bagi mengurangkan kejadian tidak diingini terutamanya membabitkan kemalangan maut.

“Kemalangan yang berlaku sangat memberi kesan sehingga meragut nyawa dalam tempoh dua bulan berturut-turut.

“Saya berharap LLM dapat bertindak segera dan mempercepatkan usaha-usaha perobohan tol terbabit walaupun secara berperingkat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Katanya, LLM juga boleh meletakkan seberapa banyak papan tanda 'Awas' atau pemantul cahaya kerana keadaan di kawasan tol tersebut sangat gelap pada waktu malam.

Dalam perkembangan lain, Azhari berkata, kemalangan yang berlaku tidak kira kemalangan maut atau biasa ia adalah perkara subjektif dan kesalahan tidak boleh diletakkan pada satu-satu pihak sahaja.

“Bagaimanapun jika usaha perobohan itu dapat dipercepatkan, sekurang-kurangnya ia dapat meminimumkan kejadian terbabit daripada berulang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga tidak mahu kejadian terbabit (kemalangan) mengubah persepsi masyarakat terutamanya pengguna jalan raya.

Katanya, penutupan kedua-dua tol terbabit adalah perkara yang positif dan tidak mahu ia menjadi negatif disebabkan kes kemalangan yang berlaku.

"Saya menyeru semua pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati apabila menghampiri plaza tol terbabit dengan mengurangkan kelajuan kenderaan masing-masing.