KUALA LUMPUR - Seorang penjenayah melarikan wang tunai RM46,000 selepas menyamun sebuah bank di Jalan Sultan Ismail, di sini, hari ini.

Ketika kejadian pada kira-kira jam 12.15 tengah hari itu, suspek yang bertopeng muka meluru masuk ke dalam premis.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sukri Kaman berkata, suspek menghampiri kaunter dan kemudian mengeluarkan sebilah parang daripada beg galasnya.

"Suspek kemudiannya mengarahkan petugas kaunter memasukkan wang ke dalam beg.

"Selepas itu, suspek terus berjalan kaki keluar melalui pintu hadapan ke arah bangunan Sungai Wang Plaza," katanya.

Beliau berkata, tiada sebarang kecederaan dialami mangsa dan anggaran kerugian adalah sebanyak RM46,000.

Katanya, usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan siasatan awal mendapati lokasi akhirnya menghala ke Bukit Bintang.

Kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :