SUBANG JAYA - Anggota penguatkuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) yang menjadi tular ekoran video dia ‘diserang’ seorang wanita dengan ‘steering lock’, di Bandar Puteri, di sini  Rabu lalu menerima sijil penghargaan daripada dua Adun dan MPSJ.

Adun Kinrara, Ng Sze Han berkata, sijil tersebut diberi berikutan pihaknya kagum dengan sikap Nor Safuan Nordin, 31, yang kelihatan tenang meskipun ditengking dan dimarahi wanita dalam rakaman video yang tular sejak Jumaat lalu.

Menurutnya, bukan senang menjalankan tugas dengan adil dan tegas apatah lagi Nor Safuan berkhidmat di Unit Tunda Kenderaan yang menyebabkannya perlu berdepan cabaran besar berdepan kerenah orang ramai.

“Cabaran bertugas sebagai penguatkuasa ni bukan mudah, bila jalankan tugas dengan tegas, ada yang tak gembira dikenakan tindakan tapi kalau tak tegas, orang ramai pula mengadu PBT tak ambil tindakan.

“Safuan beritahu sejak bertugas di Unit Tunda dia dah biasa dimaki dan dimarah mereka yang lakukan kesalahan. Disebabkan kagum dengan sikapnya yang bertenang dan sabar, saya dan Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh Tseow Suan berikan sijil ni kepadanya.

“Saya harap kakitangan awam lain dapat contohi sikap Safuan dan terus berkhidmat dengan berhemah. Kepada orang ramai saya nasihatkan tak perlu marah-marah anggota penguatkuasa jika tak puas hari, mereka boleh buat rayuan pada hari Mesra Rakyat MPSJ yang diadakan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pemberian Sijil Penghargaan kepada Nor Safuan di Ibu Pejabat MPSJ, di sini, pagi tadi.

Dalam majlis sama, MPSJ turut memberi sijil penghargaan atas kecemerlangan Nor Safuan ketika menjalankan tugas.

Timbalan Yang Dipertua MPSJ, Mohd Zulkurnain Che Ali berkata, sijil diberi berikutan Safuan menunjukkan contoh yang baik untuk diikuti kakitangan lain.

“Kami melihat Safuan mempunyai nilai kendiri yang tinggi, walaupun dimarah dan ditengking wanita dalam video, dia  masih professional laksana tugas, apa yang dilakukan bukan saja patut dicontohi penguatkuasa MPSJ tetapi juga semua kakitangan awam di negara ini.

“Mengenai kes itu kami serahkan siasatan kepada pihak polis, wanita berkenaan dah mohon maaf kepada Safuan, laporan  polis dibuat hanya sebagai pelindungan dan keselamatan kerana video menjadi tular di media sosial,” katanya.

Sementara itu, Safuan memberitahu insiden yang tular di media sosial itu bukan kali pertama dihadapinya sejak berkhidmat sebagai pembantu penguatkuasa MPSJ sejak 10 tahun lalu.

Bapa kepada seorang anak itu berkata, dia menganggap kes selesai selepas wanita itu membuat permohonan maaf.

“Bagi saya kes tu tak ada apa kerana dah biasa laluinya setiap hari, saya lapor polis atas dasar keselamatan, tak sangka ia jadi tular sebegini.

“Masa kes tu berlaku saya usaha kawal diri supaya tenang kerana berdepan dengan orang yang tengah marah,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.