KLANG - Bunyi bising di belakang rumah menggagalkan cubaan pecah masuk rumah apabila penghuninya tersedar dari tidur.

Kejadian itu dilaporkan berlaku kira-kira jam 12.55 tengah malam kelmarin, di Taman Sri Andalas, Klang.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, mangsa berusia 37 tahun yang tersedar daripada tidur melihat seorang lelaki cuba mengumpil jeriji tingkap.

"Suspek dipercayai bersendirian itu bagaimanapun melarikan diri selepas mangsa menjerit. Mangsa kemudian telah menghubungi talian 999 untuk bantuan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya yang menerima panggilan bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, pemeriksaan di rumah mangsa menemui kesan umpilan pada tingkap. Mangsa kemudian hafir ke balai untuk membuat laporan polis kira-kira jam 2 pagi.

"Siasatan masih dijalankan dan kita dalam usaha mengenal pasti suspek berdasarkan bukti yang diperolehi," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.