KUALA LUMPUR - Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Kasipillay membuat laporan polis selepas dipukul sekumpulan lelaki kerana menegur seorang dari kumpulan itu yang membakar sampah secara terbuka di kawasan itu, petang semalam.

L. Muruga Rajan, 38, yang juga anggota Pertubuhan Ikatan Usahawan dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) berkata, insiden beliau menegur lelaki itu pada 8 Februari lepas namun kumpulan tersebut hanya membalas dendam 10 hari kemudian.

"Saya menegur lelaki itu pada 8 Februari lepas kerana membakar sampah secara terbuka di kawasan kejiranan itu. Saya percaya lelaki itu telah menyuruh dua orang kuncunya untuk memukul saya kerana teguran itu.

"Sebelum ini juga mereka telah mengotorkan kawasan itu dan melakukan aktiviti tidak bermoral seperti mabuk tetapi saya tidak pernah menegur, sehingga insiden pembakaran sampah itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau yang cedera di tangan kirinya mendapatkan rawatan di sebuah klinik berhampiran sebelum membuat laporan di Balai Polis Sentul. - Bernama