KUALA LANGAT - Seorang pengedar dadah yang baru sahaja selesai menjalani hukuman penjara awal tahun ini, merupakan antara 29 individu ditahan dalam Op Sarang Khas yang dijalankan di dua lokasi di daerah ini semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, suspek lelaki berusia 41 tahun itu ditahan di Tanjung Sepat di sini, bersama-sama tujuh individu lain dipercayai penagih dadah.

"Polis telah menemui beberapa bungkusan dadah dipercayai heroin seberat kira-kira 100 gram bersama suspek. Semakan terhadap rekod suspek mendapati dia telah dibebaskan dari penjara Simpang Renggam Januari lepas,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat, di sini hari ini.

Beliau berkata suspek sebelum ini ditahan selama dua tahun di bawah Langkah-langkah Pencegahan Khas (kes dadah) dan aktif mengedar dadah sebaik sahaja dilepaskan dari penjara.

Katanya, siasatan turut mendapati suspek bukan sahaja aktif di Kuala Langat, malah di daerah berhampiran seperti Sepang dan Subang Jaya serta mendapat bekalannya (dadah) di Sepang.

Menurut Azizan, operasi bermula 2 pagi hingga 5 petang yang mendapat kerjasama Pasukan Khas Taktikal dan Perisikan Narkotik (Sting), Bukit Aman serta Agensi Antidadah Kebangsaan itu, turut menyerbu kawasan ladang kelapa sawit di Telok Panglima Garang dan menahan 21 individu dipercayai penagih dadah.

"Dua kawasan ini merupakan kawasan hotspot di Kuala Langat bagi pengedaran dan penagihan dadah. Semua yang ditahan berusia lingkungan 20 hingga 59 tahun termasuk seorang wanita.

“Dalam operasi itu, polis turut merampas wang tunai kira-kira RM1,000 milik semua individu yang ditahan dan merampas sebanyak 40 motosikal yang disyaki terlibat dalam kes kecurian," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA ROMPIN - Pengedar dadah tegar di Pulau Tioman dikenali dengan nama 'Mat Bond' bersama isterinya dan dua yang lain berjaya ditahan dalam satu serbuan oleh pasukan polis di pulau peranginan terkenal negara itu.
  • JERANTUT - Polis Daerah Jerantut berjaya mematahkan usaha seorang pengedar dadah yang cuba melarikan diri dalam satu aksi kejar-mengejar yang berlaku di Felda Kota Gelanggi 3, Selasa lalu.
  • KULAI - Polis berjaya menahan dua lelaki yang dipercayai menjadikan sebuah kediaman tidak berpenghuni di Kampung Sepakat Baru, di sini sebagai tempat menyimpan dan mengedar dadah, semalam.
  • KAMPUNG RAJA - Seorang lelaki yang memiliki 13 rekod jenayah lampau tidak sempat menyiapkan kerja membungkus dadah dalam sebuah kereta apabila dia diberkas oleh sepasukan polis di tepi jalan berhampiran kebun getah di Kampung Tok Dor Dalam.
  • BUKIT MERTAJAM - Polis menahan seorang lelaki disyaki pengedar dadah dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Sri Janggus, di sini dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai hampir RM70,000 semalam.