Mohd Helmi Md Saad
Kutipan sampah yangtidak mengikut jadual menyebabkan wujud beberapa longgokan sampah haram dikawasan Taman Cheras Jaya sehingga mengundang ketidakselesaan kepada penduduk.

BALAKONG – Penduduk di Taman Cheras Jaya kecewa apabila sampah di kawasan mereka tidak dikutip mengikut jadual menyebabkan sampah menimbun dan busuk di salam tong sampah kediaman.

Seorang penduduk, Mohd Helmi Md Saad, 34, berkata, keadaan ini sudah berlarutan sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri menyebabkan penduduk terpaksa membuang sampah di tempat lain selepas kontraktor tidak mengutip sampah lebih dari seminggu.

“Di kawasan ini tidak ditempatkan tong sampah besar bagi memudahkan penduduk membuang sampah malah kutipan sampah juga tidak mengikut jadual malah keadaan sampah berlonggok turut mengundang kehadiran anjing liar.

“Kita telah mengadukan perkara ini beberapa kali kepada pihak bertanggungjawab dengan menghubungi tiga nombor talian sampah yang dimaklumkan namun tiada yang menjawab talian manakala apabila diadukan melalui facebook mendapat respons namun tiada tindakan susulan,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Helmi berkata, sistem perparitan juga tidak diselenggara menyebabkan rumput di kawasan perumahan tidak dipotong dan kali terakhir rumput dipotong tahun lalu ketika lawatan Sultan Selangor ke kawasan tersebut.

“Itu pun hanya laluan utama sahaja dipotong, rumput di dalam kawasan taman tidak dipotong.

“Longkang yang tidak diselenggara menyebabkan air bertakung seterusnya menjadi tempat pembiakan nyamuk dan menyumbang kepada peningkatan kes demam denggi di kawasan ini,” katanya.

Menurutnya, untuk Julai sahaja lebih tiga kes demam denggi di kawasan perumahan dilaporkan apabila lebih tiga kali kakitangan Pejabat Kesihatan membuat semburan asap.

“Kita harap masalah ini diambil serius dan kutipan sampah mengikut jadual bagi mengelakkan wujud longgokan sampah di beberapa kawasan sehingga mengundang ketidakselesaan penduduk,” katanya.

Artikel Berkaitan
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.