KUALA LUMPUR - Kira-kira 800 peniaga, penduduk dan badan bukan kerajaan (NGO) berkumpul di hadapan Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai membantah pembinaan pusat penyembelihan ayam di Pasar Harian Selayang, hari ini.

Setiausaha Persatuan Gabungan Persatuan Penduduk Taman Wilayah, Abdul Aziz Mohd Alias berkata, pihaknya tidak menghalang pembangunan tersebut namun meminta agar projek itu dipindahkan ke lokasi yang lebih bersesuaian mengambil kira faktor kepadatan, keselamatan dan kesihatan.

"Kita tak bantah cuma kita minta lokasi projek dipindahkan. Di Selangor banyak kawasan yang boleh dimajukan, jauh dari rumah penduduk dan tak mengganggu lalu lintas.

"Jangan hanya dengar suara pemaju dengar juga keluhan kami yang tinggal di situ. Sebagai kerajaan mestilah suara rakyat didahulukan," katanya mewakili peniaga dan penduduk yang membantah projek itu sejak 2015.

Abdul Aziz berkata, walaupun cadangan pembangunan tersebut melibatkan kompleks dengan penyediaan parkir namun beliau tetap menyatakan lokasi itu tidak sesuai.

"Selagi ada pusat penyembelihan ayam, lokasi itu tetap tidak sesuai kerana berisiko melainkan DBKL boleh berikan jaminan tidak akan berlakunya penyakit berjangkit seperti selesema burung di sini.

"Kita bantah kerana mahu bantu kerajaan. Sekarang pun dah bermacam-macam masalah di sana seperti kampung Myanmar, ini mahu tambah masalah baru pula," katanya.

Wakil penduduk, Teh Sue Beng berkata, dia yang tinggal di Selayang hampir 25 tahun melahirkan kebimbangan projek itu akan mengganggu aktiviti harian penduduk.

"Jika sekarang seawal jam 6 pagi kami dah keluar ke tempat kerja apabila sudah siapnya projek itu mungkin kami kena keluar jam 5 pagi pula untuk elak terperangkap dengan kesesakan lalu lintas.

"Tempat sudah sempit dengan NSK, Sri Ternak dan pasar harian jadi kita minta projek itu diubah lokasinya  memandangkan jaraknya dengan rumah kurang 200 meter," katanya.

Satu memorandum bantahan disampaikan oleh Abdul Aziz kepada Pengarah Jabatan Perancangan Ekonomi dan Pembangunan DBKL, Azmi Abdul Hamid.

Turut hadir menyokong bantahan itu adalah Ahli Parlimen Selayang, William Leong dan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng.

Sementara itu, Azmi berkata,  pihaknya akan meneliti kandungan memorandum terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

“Kami akan berbincang dengan pihak-pihak berkaitan seperti pemaju-pemaju dan Kementerian Wilayah sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya.