SHAH ALAM - Lebih 20 penduduk yang diarahkan berpindah ekoran kegagalan mereka melunaskan sewa rumah melalui ‘Skim Smart-Sewa’ di PPR Kampung Baru Hicom meminta kerajaan negeri memberi kebenaran untuk mereka terus menetap di situ.

Salah seorang penduduk terlibat, Masitah Ishak, 50-an, yang juga ibu tunggal berkata, dia menerima notis pada 1 Ogos lalu meminta mengosongkan rumah tersebut sehingga 1 September depan.

“Memang saya akui ada tunggakan sewa lebih RM1,000, saya memang tak mampu nak bayar kesemuanya serentak sehingga tempoh 31 Ogos ini kepada pihak Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn Bhd (PHSSB).

“Saya minta jasa baik PHSSB benarkan saya terus tinggal di sini, setidak-tidaknya saya boleh bayar sedikit demi sedikit tunggakan itu,” katanya ketika ditemui, semalam.

Dia yang tinggal di rumah tersebut bersama salah seorang anak lelaki sejak enam tahun lalu berkata, dia memang tidak berkemampuan untuk melunaskan kesemua bayaran memandangkan pendapatannya hanya bergantung kepada jualan nasi lemak secara kecil-kecilan.

“Bagi kos sewa rumah pula, ia ditanggung oleh Lembaga Zakat Selangor,” katanya yang dikenakan sewa bulanan RM250.

Seorang lagi penduduk, Azizun Rosman, 54, berkata, dia yang mempunyai tunggakan bil elektrik lebih RM1,000 terkejut menerima notis pengosongan rumah pada tarikh yang sama.

“Saya memang tak mampu nak bayar kesemua tunggakan kerana tidak bekerja, saya hanya bergantung harap kepada anak dan menantu yang tinggal bersama.

“Meskipun berdepan tunggakan, saya minta jasa baik kerajaan negeri tidak mengusir saya dan penduduk yang senasib dari sini. Hanya rumah ini tempat kami berteduh,” katanya yang tinggal di situ sejak lima tahun lalu.

Keluhan penduduk itu mendapat perhatian badan bukan kerajaan (NGO) Selangor iaitu Kelab Harmoni Selangor (KHS) dan Pertubuhan Biro Aduan Masyarakat Selangor.

Presiden KHS, Dr V Sunder berkata, seramai 26 penduduk mengadu mereka diarah mengosongkan rumah sehingga 1 September depan jika gagal menjelaskan tunggakan sehingga 31 Ogos ini.

“Meskipun penduduk berkenan gagal membuat bayaran kesemuanya, kita minta jasa baik kerajaan negeri agar beri kebenaran kepada mereka untuk terus menetap di sini.

“Bagi kelonggaran kepada mereka untuk membuat bayaran secara ansuran, mereka memang orang susah lebih-lebih lagi mereka orang Selangor yang perlu dibantu,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Biro Aduan Masyarakat Selangor, Nazilah Idris berkata, pihaknya dan KHS akan membawa senarai penduduk yang terlibat kepada PHSSB minggu depan bagi meminta pembatalan notis tersebut termasuk memberi kelonggaran syarat bagi membolehkan mereka terus menetap di PPR ini.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Komuniti Pangsapuri PPR Kampung Baru Hicom, Yahaya Abdul Aziz berkata, pihaknya kesal kerana penduduk tidak memaklumkan kepada persatuan berkenaan masalah terbabit.

“Sepatutnya mereka mengadu pada kita, sekurang-kurangnya kita cuba bantu.

“Tempoh yang berbaki semakin hampir 31 Ogos, saya minta kesemua penduduk terbabit bekerjasama antara satu sama lain membawa masalah ini kepada kita bagi membolehkan kita mencari jalan penyelesaian secara bersama,” katanya.

Terdahulu, PHSSB mengeluarkan notis penamatan dan pengosongan unit kepada penduduk terlibat bertarikh 1 Ogos lalu meminta mereka menjelaskan tunggakan sebelum 31 Ogos ini.

Kegagalan berbuat demikian menyebabkan penyewaan rumah akan ditamatkan dan rumah mereka akan disita pada 1 September depan.

Skim Smart-Sewa diperkenalkan kerajaan Selangor bagi membantu golongan berpendapatan sederhana memiliki rumah.

Sebelum ini, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, skim itu akan membantu golongan berpendapatan sederhana menyewa, sebelum mereka mampu membeli rumah di Selangor.

“Tempoh sewa minimum adalah dua tahun dan maksimum lima tahun. Menerusi program ini, penyewa akan mendapat balik 30 peratus jumlah sewaan yang dibayar apabila mereka tidak lagi tinggal di unit berkenaan,” katanya.

 

 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • ALOR GAJAH - Penduduk sekitar Durian Tunggal, di sini, kesal dengan perbuatan netizen menyebarkan visual kononnya terdapat langsuir bertenggek atas tiang elektrik di tepi Jalan Simpang Gading ke Kesang Pajak, berhampiran pusat pelancongan The Touch City, di sini.
  • TANGKAK - Rata-rata penduduk di Kampung Parit Paya Pupuk di sini, boleh menarik nafas lega berikutan sebuah projek menaik taraf sistem saliran di kawasan terbabit yang menjadi punca kepada masalah banjir kilat akan dilaksanakan.
  • TRIANG - Sebahagian besar penduduk Kampung Paya Tateh di sini, bukan sahaja kecewa permohonan tanah mereka sering ditolak, malah berlaku pertindihan geran membabitkan dua nama berbeza.
  • BAGAN DATUK - Sebanyak 500 unit kediaman di bawah Projek Program Perumahan Rakyat (PPR) akan di bina di daerah ini sebagai usaha membantu golongan berpendapatan rendah dan kurang berkemampuan memiliki rumah.
  • HULU LANGAT - Penduduk menggesa agensi berkaitan agar melakukan pemantauan terhadap projek pembangunan kerana ia berkemungkinan punca kejadian banjir kilat di sini, baru-baru ini.