KAPAR - Sebahagian penduduk di Kampung Tok Muda kini mula melakukan persediaan awal bagi menghadapi fenomena air pasang besar pertama yang dijangka berlaku esok (hari ini) sehingga Jumaat ini.

Salah seorang penduduk kampung, Kalmi Yusof, 59, berkata, dia begitu bimbang berikutan tempat tinggalnya antara yang paling terkesan dengan kejadian banjir akibat fenomena air pasang besar tahun lalu.

“Tahun lepas rumah saya antara paling teruk kena...habis perabot dan barang elektrik semua rosak termasuk kereta arwah suami dan motosikal. Saya terpaksa bayar RM1,000 untuk baiki motor tapi kereta saya tak mampu dan sampai sekarang ia masih di situ.

“Saya takut kalau jadi lagi, sebab tu saya letakkan perabot di bahagian rumah paling tinggi. Kalau jadi lagi (banjir) sempat saya pindahkan barang-barang lain,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Siti Aznida Abdul Aziz, 27, berkata, rumahnya tidak terlibat dengan banjir sebelum ini, hanya kawasan ladang kelapa sawit milik keluarganya terjejas.

“Rumah saya tak kena (banjir) tapi pokok kelapa sawit di kawasan ini habis rosak kena air masin. Tahun lepas hasil saya dapat berkurang 50 peratus sebab banjir yang berlaku pengaruhi hasil tanaman.

“Mujur pokok milik kami besar-besar, kalau kecil pasti mati semuanya,” katanya kepada Sinar Harian.

Seorang nelayan, Jaafar Puchu, 58, berkata, tiada sebarang persediaan dibuat di kawasan jeti berhampiran melainkan semua nelayan biasanya akan memastikan bot masing-masing diikat bagi mengelakkan hanyut.

“Tahun lepas air naik sampai enam meter. Kami tak buat persediaan cuma pastikan bot semua kena ikatlah kalau hujan lebat atau macam nak banjir, takut hanyut.

“Selain tu, saya harap ban yang kerajaan cakap nak buat tu dapat disiapkan segeralah,” katanya.

Hasil tinjauan Sinar Harian di Dewan Orang Ramai Kampung Tok Muda iaitu antara lokasi pemindahan sementara tahun lalu mendapati ia masih dalam proses pembaikan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA SELANGOR - Penduduk yang dipindahkan ke Dewan Serbaguna Kampung Sungai Serdang, Kapar berharap ban yang dibina Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor kukuh dan tidak pecah ketika berhadapan fenomena air pasang besar yang dijadualkan setinggi 5.5 meter esok berbanding hari ini 5.4 meter.
  • KUALA SELANGOR - Rata-rata penduduk di Sungai Janggut, Tambak Jawa dan Pantai Remis bersiap sedia berdepan sebarang kemungkinan musibah banjir sepanjang tempoh air pasang besar pada bulan ini.
  • SHAH ALAM - Keadaan pantai di Selangor masih terkawal dan fenomena air pasang tidak menyebabkan sebarang limpahan air berlaku di pesisir pantai.
  • PONTIAN - Ketibaan musim air pasang besar memberi peluang kepada penduduk kampung Mukim Serkat menganjurkan sukaneka air di Jeti Nelayan Pengkalan Penghulu Serkat, pagi tadi.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.