SELAYANG – Penduduk memohon diberikan hak keistimewaan atau kadar bayaran kupon parkir di One Selayang di sini dikurangkan lagi berbanding kadar yang ditetapkan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) iaitu RM31.60 termasuk GST sebulan.

Adun Taman Templer, Zaidy Abdul Talib berkata, walaupun kadar tersebut sudah dianggap murah namun dengan keadaan ekonomi sekarang, jumlahnya masih membebankan terutama bagi penduduk yang mempunyai lebih daripada satu kereta.

Menurutnya, beliau akan mengusulkan perkara tersebut kepada MPS mewakili suara penduduk servis apartmen itu.

“Mereka mohon kadar bagi pas bulanan itu dikurangkan lagi kerana itu adalah kawasan perumahan mereka yang sepatutnya kemudahan tersebut adalah percuma.

“Kita juga akan mendesak MPS supaya infra di sana terutama lampu jalan dan penurapan berada dalam keadaan baik terlebih dahulu sebelum pelaksanaan caj tersebut dilakukan,” katanya kepada Sinar Harian.

Kelmarin, Zaidy meluangkan masa hampir satu jam bertemu penduduk One Selayang bagi membincangkan isu letak kereta berkupon yang sepatutnya bermula awal tahun lalu namun mendapat bantahan penduduk.

Pelaksanaan caj parkir berkupon telah dilakukan bagi kawasan pembangunan perdagangan, komersil bercampur kediaman di bawah Akta 138, Akta Hak Milik Strata 1985.

Beliau turut meninjau keadaan keperluan infrastruktur lain kawasan tersebut terutama kemudahan dewan, surau dan kawasan rukun tetangga.

“Mereka tiada kemudahan tersebut dan sebuah tanah lapang milik MPS berhampiran pejabat pengurusan dicadangkan untuk pembinaannya.

“Ia bagi membolehkan penduduk menjalankan aktiviti bermasyarakat dan beriadah bagi menggalakkan lagi semangat kejiranan di sana,” katanya.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.