KEPONG - Penduduk di Flat Kos Rendah Mutiara Fadason mendesak supaya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) campur tangan dalam mencari penyelesaian berhubung isu masalah lif yang dihadapi oleh penghuni di sini.

Menurut seorang penduduk, May Peh Bee Leng, 48, berkata, sejak 20 Ogos lalu, penghuni di flat ini seringkali berdepan masalah lif walaupun beberapa aduan telah dipanjangkan kepada badan pengurusan bersama (JMB).

"Ini bukan pertama kali penduduk berdepan masalah ini kerana sejak bertahun-tahun lalu lif ini sering rosak dan banyak aduan telah dipanjangkan kepada JMB berhubung perkara ini.

"Dan disebabkan inilah kami meminta supaya KPKT campur tangan dalam menyelesaikan permasalahan ini,"katanya.

Mengulas lanjut, Bee Leng berkata, pihak JMB di flat itu tidak dapat melakukan penyelenggaraan berikutan terpaksa menanggung tunggakan hutang berjumlah RM933,300.

Selain itu, Bee Leng berkata, Pesuruhjaya Bangunan Kuala Lumpur (COB) juga telah mengambil maklum mengenai permasalahan ini namun pihak berkenaan tidak banyak membantu dalam menyelesaikan isu ini.

"Kali terakhir kami bermesyuarat bersama JMB dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) adalah pada 31 Mei lalu.

"Dan melalui mesyuarat itu, COB telah mengarahkan JMB untuk mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) pada 29 Julai namun sehingga hari ini pihak berkenaan gagal untuk melaksanakannya,"katanya.

Dalam pada itu, menurut seorang penduduk lain, Jessie Rajindran,45, sebelum ini penduduk turut diarahkan untuk membayar RM100 bagi setiap unit rumah bagi menampung kos baik pulih lif itu.

Namun begitu, dia berkata penduduk telah hilang kepercayaan kepada JMB selepas mendapati rekod perkhidmatan mereka kurang memuaskan.

"Kami risau sumbangan kami untuk baiki lif ini akan disalahguna oleh pihak terbabit.

"Jadi kami minta agar DBKL sendiri ambil alih penyelenggaraan ketiga-tiga blok di sini," katanya.

Di samping itu, Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), A Sivarajan turut berharap agar masalah tersebut dapat diselesaikan dengan kadar segera berikutan isu itu telah menimbulkan kegusaran masyarakat setempat.

Beliau berkata, KPKT perlu mengambil tindakan segera dengan menggunakan kaedah seperti Kerajaan Selangor melalui inisiatif Skim Ceria.

"Dengan menggunakan kaedah seperti Skim Ceria ini, ia dapat mengatasi masalah lif untuk tempoh jangka masa panjang,"katanya.