KUALA LANGAT - Orang ramai di sekitar kawasan perindustrian di Jalan Kling Batu 15, di sini cemas apabila terhidu bau bahan kimia di kawasan itu, malam tadi.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor, Alimaddia Bukri berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 9.47 malam berhubung insiden itu sebelum sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Telok Panglima Garang bergegas ke lokasi.

Menurutnya, sebaik tiba, pihaknya melakukan pemeriksaan dan mendapati terdapat cecair ammonia dilepaskan ke dalam parit berhampiran sebuah kilang.

“Laporan awal diterima daripada orang awam memaklumkan terdapat pencemaran bau kuat seperti bahan kimia di kawasan tersebut. Bertindak atas laporan, Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam turut bergegas ke lokasi.

Cecair ammonia yang dilepaskan ke parit hingga menimbulkan bau busuk

“Anggota bomba dan penyelamat mengesan satu tempat di mana terdapat saluran paip bersambung dari sebuah kilang terus ke parit dan cecair yang di buang disahkan cecair ammonia,”katanya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat sebuah kilang dipercayai mengumpul minyak hitam melepaskan sisa cecair berkenaan yang digunakan untuk mencuci peralatan.

“Orang awam cemas kerana bau tersebut terlalu kuat namun pemeriksaan dijalankan mendapati ia tidak berbahaya kepada alam sekitar.

“Bagaimanapun Jabatan Alam Sekitar (JAS) sudah dimaklumkan perkara itu untuk tindakan susulan,”katanya bau tersebut bagaimanapun berkurangan kerana sudah bercampur dengan air parit.