TERATAI - Seramai 44 keluarga di sebuah taman perumahan di Taman Muda, di sini, bimbang dengan keadaan kediaman mereka yang kian retak sejak 29 tahun lalu.

Salah seorang penduduk, Roziyah Majid, 58, berkata, dia mendapati keretakan rumah di beberapa bahagian termasuk kawasan parkir dan dapur selepas dua tahun mendiami rumah itu pada 1989 sehingga ke hari ini dan ia bertambah teruk.

“Saya melihat keretakan ini semakin ketara, malah tapak di bahagian belakang semakin mendap. Kita risau dan takut, sebab benda ni berlaku dah lama,” katanya.

Menurutnya yang juga ibu tunggal, dia bersama anaknya yang menghuni rumah itu sentiasa bimbang akan keselamatan mereka.

“Saya terpaksa menampal simen pada dinding yang retak, namun keretakan kembali terbuka selepas beberapa bulan," luahnya lagi.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk, Yong Voon Sing berkata, pihaknya turut mendapati tebing sistem saliran itu pecah dan keadaan tanah pula sudah mendap dan tidak stabil.

“Kami berasa takut apabila hujan lebat kerana sistem saliran tersebut telah rosak dan pecah, sebelum ini pernah berlaku kejadian 22 rumah runtuh di kawasan ini,” katanya.

Voon Sing berkata, insiden tersebut boleh dianggap kejadian kedua terburuk selepas insiden Highland Tower.

“Saya berharap agensi berkaitan dapat segera menaik taraf tebing sungai dan mengatasi hakisan tanah berhampiran rumah kami,” katanya.

Adun Teratai,  Brian Lai Wai Chong berkata, persatuan penduduk taman perumahan itu perlu menghantar senarai rumah yang mengalami keretakan kepada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

“Saya juga memohon agensi berkaitan mengenal pasti sistem saliran di bahagian belakang rumah penduduk ini merupakan sungai atau monsoon drain,” katanya.

Brian berkata, surat akan dihantar kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri supaya pemeriksaan boleh dilakukan.

“Jika sistem saliran itu adalah sungai, saya akan memohon JPS membaikinya, ia melibatkan peruntukan yang besar. MPAJ tidak mampu keluarkan kos yang tinggi,” katanya.

Pihaknya juga memerlukan maklum balas segera berhubung keadaan kediaman penduduk berkenaan.

“Saya maklum isu ini kepada Exco Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim untuk tindakan lanjut,” katanya.