KUALA LUMPUR – Penduduk Kampung Baru mahu Ahli Parlimen Titiwangsa, Rina Mohd Harun, membawa suara mereka agar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menghentikan rancangan menjadikan kawasan perkampungan melayu tengah bandar itu menjurus sebagai pusat komersial.

Perkara itu antara yang  dikemukakan salah seorang penduduk dalam sesi dialog bersama komuniti Kampung Baru dan Rina hari ini.

Mohd Nor Hassan, 63, berkata, bantahan berhubung cadangan itu pernah dikemukakan kepada DBKL sebelum ini namun sehingga kini tiada tanda bahawa bantahan itu telah diambil kira.

Sebaliknya katanya, pembangunan moden terus berlaku di kawasan Kampung Baru tanpa pemakluman jelas kepada penduduk.

“Saya pernah membawa bantahan daripada 400 penduduk yang menandatangani petisyen kepada panel pendengaran bantahan DBKL agar rancangan dihentikan dan diberi maklum balas ianya akan disampaikan ke peringkat atas.

“Jadi saya minta wakil rakyat untuk membuat susulan perkara ini. Banyak yang berlaku tetapi orang Kampung Baru tidak tahu. Tiba-tiba sahaja dibangunkan. Seperkara lagi adalah projek pintu gerbang baharu. Hilang sudah mercu tanda dan identiti Kampung Baru,”katanya.

Dalam pada itu, Rina berkata, beliau mengambil maklum berhubung kehendak penduduk Kampung Baru yang amat mengutamakan nilai tradisi penempatan berkenaan.

Justeru ujarnya, ianya menjadi perhatian yang akan diambil kira untuk disalurkan kepada pihak kementerian terlibat nanti.

“Mana-mana perkara yang melibatkan dasar ini akan dibawa ke atas, dan kita akan salurkan ke kementerian yang bersesuaian nanti kerana ini hanya ada 10 kementerian,”katanya.

Sementara itu, dalam sesi yang turut disertai Pengurus DBKL Kawasan Titiwangsa, Abd Aziz Abd Rahman itu, beberapa perkara lain turut dibangkitkan untuk perhatian antaranya berkaitan projek pembangunan semula Flat PKNS Kampung Padang, isu parkir, serta penilaian semula kewujudkan Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu dan lain-lain lagi.

Difahamkan sesi berkenaan merupakan yang pertama untuk komuniti itu dan akan diperluaskan pada masa akan datang melibatkan lebih ramai pihak berkepentingan.