SABAK BERNAM - Seorang pemuda maut apabila motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah lori di Kilometer 70 Jalan Teluk Intan - Klang, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 petang itu, mangsa, Chong Chee Ho, 24, yang beralamat di Taman Muhibbah,  Bestari Jaya itu maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, kejadian berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal jenis Suzuki RG Sport dari arah Taman Aman, Sekinchan keluar simpang untuk menuju ke jalan persekutuan.

"Bagaimanapun, pemandu lori yang berada di jalan utama menuju ke Klang tidak dapat mengelak dan berlaku pertembungan dua kenderaan berkenaan," katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Nor Azmi, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tanjong Karang bagi tujuan bedah siasat.

"Manakala pemandu lori yang tidak mengalami sebarang kecederaan membuat laporan di Balai Polis Trafik Sabak Bernam.

"Kedua-dua kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu dibawa untuk pemeriksaan Puspakom," katanya.

Beliau memberitahu, siasatan kes kemalangan itu dikendalikan Inspektor Salmah Abu Bakar di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.    

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KOTA BHARU - Seorang pekerja restoran di Aeon Mall Kota Bharu maut selepas motosikal ditunggang terbabas merempuh jentolak berhampiran lampu isyarat di Jalan Maulana Khurasan, di sini, malam kelmarin.
  • KEPALA BATAS - Beberapa pemandu kenderaan mengalami kecederaan selepas lima buah kereta bertembung dengan sebuah kereta dipandu secara melawan arus di Kilometer 116 dan 123.4 menghala utara di Lebuhraya Utara Selatan (Plus), di Bertam di sini awal pagi ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.