TANJONG KARANG – Tidak berpuas hati dengan corak pemilihan jawatan parti bagi sayap Umno Bahagian Tanjong Karang, 13 calon mengambil keputusan drastik menarik diri.

13 calon yang pada mulanya mahu bertanding sebagai exco pemuda, ketua pemuda, naib ketua dan timbalan ketua Umno bahagian itu menarik diri pada pemilihan yang akan diadakan esok.

Timbalan Ketua Cawangan Seri Gambut, Maruwan Ahmad juga mengambil keputusan untuk melepaskan jawatan sebagai Ketua Pemuda Umno Bahagian Tanjong Karang sekali gus menarik diri sebagai calon bagi kerusi Naib Ketua Bahagian Umno Bahagian Tanjong Karang.

Maruwan menjelaskan, pihaknya mengambil keputusan berat itu berikutan kesal dengan corak pemilihan yang lebih kepada sokongan kroni sekali gus tidak menggambarkan pemilihan terbuka seperti yang disyorkan pimpinan pusat.

“Saya terpaksa buat kenyataan panas tapi hari ini secara rasminya saya lepaskan jawatan ketua pemuda untuk memberi laluan kepada pimpinan Umno menguruskan persidangan pemuda pada 23 Jun ini.

“Saya juga tarik diri sebagai calon dan suratnya akan diberikan kepada setiausaha bahagian hari ini kerana melihat adanya unsur campur tangan pimpinan yang susun calon pilihan," katanya, semalam.

Maruwan juga menyifatkan tindakan itu tidak wajar kerana ketika Umno tenat ketika ini, masih ada ‘kempen’ menjulang nama calon tertentu sehingga ahli menyampah.

“Sepatutnya beri laluan kepada muka baharu tanpa sebarang sekatan kepada mereka yang nak bertanding malah saya kecewa dijadikan cagaran melepaskan jawatan bagi memberi laluan kepada calon tertentu.

“Sepatutnya beri peluang kepada anak muda yang nak pilih mana-mana ketua yang mereka fikirkan layak…soal bergaduh itu perkara biasa tapi taklah sampai keluar parti,” katanya.