• Yusof menunjukkan surat memaklumkan pemandu teksi dan kereta sewa akan diberi rebat bagi membeli kereta baru. Yusof menunjukkan surat memaklumkan pemandu teksi dan kereta sewa akan diberi rebat bagi membeli kereta baru.
1 /

KANGAR – Pemandu teksi dan kereta sewa di Stesen Bas Ekspres Kangar, di sini, kesal susulan rebat yang dijanjikan kerajaan pada pembentangan Bajet 2013 bagi membeli kenderaan baru menggantikan teksi lama masih gagal dibayar sehingga kini.

Pemandu teksi, Yusof Din, 55, mendakwa, menerusi satu surat yang diterima daripada Kementerian Kewangan pada Oktober tahun lalu memaklumkan pemilik akan diberi rebat RM3,000 bagi menggantikan teksi berusia kurang 10 tahun dan RM1,000 bagi teksi berusia lebih 10 tahun bagi kereta Nasional.

“Setelah menerima surat ini, saya mengambil keputusan membeli kereta Proton Persona menggantikan Proton Iswara (teksi) saya yang berusia sembilan tahun. Saya beli kereta itu pada November 2012.

“Saya mengeluarkan simpanan saya hampir RM5,000 dengan harapan rebat akan dibayar secepat mungkin. Sehingga hari ini saya saya masih belum menerima rebat itu,” katanya.    

Yusof berkata, selain dia, empat orang rakannya turut mengalami situasi sama dan mereka sudah lebih lima kali membuat tuntutan bagi mendapat rebat berkenaan.

“Semuanya diuruskan pihak Proton (tuntutan). Kami sudah melengkapkan semua dokumen yang diperlukan seperti permit teksi, lesen PSV (bagi membawa penumpang), daftar perniagaan dan sebagainya.

“Setiap bulan kami ke Proton bagi mengetahui status pembayaran, namun kecewa apabila dimaklumkan rebat masih gagal dibayar,” katanya.

Katanya, harapan dia dan rakan-rakannya kini adalah kerajaan segera menyelesaikan tuntutan mereka memandangkan pendapatan sebagai pemandu teksi tidak menentu.

“Kami minta kerajaan dapat membayar duit itu (rebat) seperti yang dijanjikan. Sebagai pemandu teksi, pendapatan harian kami tidak menentu, bergantung pada keadaan.

“Selain itu, duit membeli kereta (simpanan) itulah kami gunakan apabila kami terdesak. Kami bukannya orang senang,” katanya.