KUALA LUMPUR - Seorang pelajar lelaki berusia lingkungan 14 tahun meninggal dunia setelah ditimpa kerusi pejabat yang dibuang dari tingkat atas Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Pantai, Pantai Dalam di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.15 malam itu, mangsa dikatakan sedang melalui bawah blok perumahan berkenaan sebelum sebuah kerusi pejabat tiba-tiba jatuh dan menimpa mangsa.

Mangsa meninggal dunia serta merta di tempat kejadian akibat kecederaan teruk dibahagian kepala.

Salah seorang penduduk, Halim Mohd Kassim,47,berkata, ketika kejadian, dia berada di tempat letak kereta blok sama sebelum terdengar bunyi dentuman yang kuat.

"Saya fikir perkara biasa sebab memang selalu orang buang-buang barang dari atas. Tapi tak lama lepas tu saya mula dengar bunyi jeritan dan ramai orang mula berlari mencari.

"Saya lihat mangsa sudah terbaring kaku dengan keadaan kepala sudah pecah,"katanya.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Ruslan Khalid berkata, mangsa berjalan bersama ibunya untuk naik ke rumahnya di tingkat 16 namun ketika berhampiran kawasan tangga, sebuah kerusi dipercayai dicampak dari tingkat atas.

Mangsa S Sathiwaran, maut di tempat kejadian akibat ditimpa kerusi yang dipercayai dicampak dari tingkat atas pangsapuri di Blok 102 PPR Seri Pantai, Pantai Dalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 304 A Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kematian secara cuai dan siasatan lanjut masih dijalankan.