SHAH ALAM - Polis Selangor menerima dua laporan berkenaan kes ugutan terhadap dua pegawai atasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya.

Kedua-kedua laporan polis itu masing-masing dibuat di Balai Polis Bangi semalam dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, hari ini.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor menerusi satu kenyataan kepada Media sebentar tadi.

Berikutan itu, beliau berkata, polis menubuhkan satu 'Task Force' bagi menjalankan siasatan lebih terperinci berkenaan ugutan berkenaan.

"Pada masa sama, kita minta kerjasama orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat.

"Orang ramai juga diminta agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes tersebut," katanya.

Terdahulu, Timbalan Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, dua pegawai kanan SPRM masing-masing menerima ugutan satu peluru hidup dan nota berbaur ancaman semalam dan hari ini.

Beliau berkata, ancaman yang diterima itu dipercayai berkait rapat dengan siasatan suruhanjaya bebas berkaitan kes-kes berprofil tinggi sejak kebelakangan ini.

"Kedua-dua pegawai kanan yang tinggal di sekitar Lembah Klang dan bertugas di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya itu menerima ugutan yang dimasukkan ke peti surat rumah masing-masing," katanya.