SHAH ALAM - Polis sedang memburu dua lelaki warga Amerika Latin yang dipercayai terlibat dalam beberapa kejadian pecah rumah di sekitar Lembah Klang, termasuk cubaan memecah masuk sebuah rumah di Seksyen 13 di sini, pada 6 Oktober lepas.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata kedua-dua suspek berusia lingkungan 20-an itu dipercayai terlibat dalam kegiatan jenayah berkenaan selepas polis menemui beberapa peralatan pecah rumah di dalam sebuah kereta Honda Accord yang disewa untuk tujuan kegiatan jenayah mereka.

“Pada 6 Oktober lepas, dua suspek yang menaiki Honda Accord cuba memecah masuk sebuah rumah di Seksyen 13, kira-kira pukul 7.30 malam, sebelum meninggalkan kenderaan berisi pelbagai alatan pecah rumah itu di tepi jalan apabila kegiatan jenayah mereka disedari pemilik rumah yang kemudian menghubungi polis.

“Sejam selepas kejadian itu, anggota peronda kita berjaya mengesan kedua-dua suspek di dalam sebuah teksi dan cuba menahan mereka tetapi gagal apabila mereka bertindak melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran lokasi kejadian,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata siasatan lanjut seterusnya membawa polis ke sebuah rumah di Cyberjaya dekat sini, kira-kira jam 8.30 malam, Selasa lepas.

Jelas Shafien, siasatan ke atas rumah tersebut pula menemui pelbagai barangan termasuk wang tunai selain jam, kasut serta beg tangan berjenama mewah seperti Louis Vuitton dan Chanel.

“Polis menemui barang tersebut di dalam sebuah bilik dan kita percaya barangan ini dikumpul untuk dijual bagi pasaran luar negara…semakan juga mendapati ada antara barang ini berkaitan kes pecah rumah di Kajang baru-baru ini.

“Selain barang curi, kita turut menemui sekeping kad pengenalan yang kita percaya milik seorang daripada suspek dikenali sebagai German Alberto dan polis akan menyiasat sekiranya terdapat suspek lain yang terlibat dalam kegiatan pecah rumah ini,” katanya.

Menurut Shafien, kesemua barang rampasan itu dianggarkan bernilai RM250,000 dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUANTAN - Kes pecah rumah yang tular di media sosial menjadi petunjuk kepada penahanan empat anggota polis yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu di Taman Alam Perdana di sini, 9 November lalu.
  • KUALA TERENGGANU - Tindakan berani seorang pemuda memecah masuk sebuah rumah sebelum mencuri sebuah televisyen dan duit syiling membawa padah apabila dijatuhi hukuman setahun penjara oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, di sini, hari ini.
  • BAGAN SERAI - Penahanan tiga lelaki warga Indonesia dan penemuan pelbagai peralatan kegiatan pecah rumah di dalam sebuah kereta di Jalan Perwira, Taman Bagan Serai di sini awal pagi tadi membolehkan polis menumpaskan sebuah sindiket pecah rumah sarang bulut walit sekitar Kerian.
  • PADANG TERAP - Tiga sahabat bersama pelbagai barangan elektrik dan kemas bernilai RM10,000 yang dipercayai hasil dari kegiatan pecah rumah sekitar Kuala Nerang dekat sini ditahan polis dalam serbuan di sekitar daerah ini pada 25 Oktober lalu.
  • KUALA KRAI - Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai, mencari seorang penganggur dikenali Idi Telor bagi membantu siasatan dalam kes pecah rumah dan curi kenderaan.