SHAH ALAM - Umno Selangor meramalkan akan ada exco atau adun Pas di Selangor yang lompat parti.

Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar berkata, mereka sanggup keluar parti kerana ‘kemaruk’ jawatan dan 'oportunis'.

“Saya tak terkejut kalau exco-exco dan sebahagian ahli parlimen Pas tinggalkan parti dan masuk Amanah atau PKR. Saya ramalkan ia boleh berlaku.

“Kerana kemaruk jawatan, mereka pasti sanggup keluar parti dan ketepikan perjuangan parti. Saya yakin mereka tak akan letak jawatan kerana mereka ni 'oportunis',” katanya kepada media selepas Majlis Perasmian Karnival Sukan Kerajaan Tempatan Malaysia (KSKTM) 2017, di sini.

Katanya, Pas boleh disifatkan sebagai ‘dayus’ jika masih mengekalkan jawatan dalam kerajaan negeri.

“Pas ‘dayus’ jika masih ada exco atau adun bahagian yang masih kekal dalam pimpinan kerajaan negeri. Kalau bermaruah dan hormati perjuangan parti, mereka mesti letak jawatan.

“Ibaratkan kalau suami dah tahu isteri curang, tapi masih kekal bersama. Seperti Pas, sama seperti suami dayus dan tak bermaruah ibarat hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong,” katanya.

Pada masa sama beliau turut mengulas kenyataan Pesuruhjaya Pas Selangor, Sallehen Mukhyi yang mengatakan mereka tidak perlu meletak jawatan kerana ia merupakan mandat yang diberikan rakyat Selangor pada PRU13 lalu.

Noh berkata, alasan ‘mandat rakyat’ adalah tidak munasabah berikutan janji dan manifesto tersebut dibuat oleh pemimpin terdahulu (Tan Sri Khalid Ibrahim).

“Beliau (Khalid) sebagai kepala perang dan menang banyak kerusi di Selangor tu pun mereka boleh pecat. Jadi alasan dia (Sallehen) tu tak munasabah.

“Orang yang buat janji tu pun dah dipecat PKR. Lagi satu, kalau betul nak tunaikan janji kepada rakyat, kenapa parti Amanah boleh timbul di Selangor,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • TANJONG KARANG - Umno Bahagian Tanjong Karang memperuntukkan RM150,000 untuk sumbangan duit raya sempena Majlis Ziarah Kasih Yayasan Tabung Haji Parlimen Tanjong Karang, pagi tadi.
  • TANJONG KARANG - Prihatin dengan keadaan kuarters polis yang serba daif, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan meluluskan RM1.6 juta untuk membaik pulih kemudahan itu untuk manfaat anggota polis.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.