SHAH ALAM - Tiada sebarang perbincangan dibuat Pas berhubung siapa calon Menteri Besar Selangor sekiranya parti itu memenangi PRU14 nanti.

Timbalan Pesuruhjaya I Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, setakat ini, pihaknya belum membuat sebarang keputusan mengenai perkara itu.

"Kita tak bincang lagi pun tentang isu MB (menteri besar) Selangor, siapa calon atau sebagainya.

"Tapi saya boleh katakan, calon MB atau perdana menteri sekali pun hanya akan ditentukan selepas PRU14. Bukan sekarang," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Beliau mengulas laporan sebuah akhbar media arus perdana bahawa Pas Selangor sudah mempunyai senarai calon bagi mengisi jawatan menteri besar di negeri itu apabila menang PRU14.

Ujar Ahmad Yunus  lagi, lagi pun pemilihan calon MB adalah urusan Majlis Syura Pas dan bukannya keputusan Pas negeri.

Beliau berkata, laporan tersebut tidak benar dan sengaja diputar-belit pihak berkenaan demi memenuhi agenda tertentu.

"Ini spin....kita memang belum ada senarai lagi.

"Mereka tanya lain tapi kemudiannya tulis dan siarkan cerita yang tidak betul," katanya.

Bagaimanapun katanya, jika selepas PRU14 berlaku kerajaan gabungan, Pas juga cenderung meletakkan calon sendiri kerana parti Islam itu tidak ketandusan calon yang berwibawa.