PETALING JAYA - Jalinan kerjasama antara Umno dan Pas dilihat semakin jelas dan tidak berselindung lagi menjelang PRK Dun Seri Setia.

Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, tindakan Umno memberikan laluan dan sokongan kepada Pas untuk bertanding di kerusi itu disifatkannya sebagai tanda 'pernikahan'.

"Kalau pada PRU14 yang lalu, Umno dan Pas macam sorok-sorok bercinta, tapi sekarang jelas mereka sudah bernikah.

"Malah, Pas juga tidak berselindung mengatakan sokongan mereka kepada MCA di PRK Dun Balakong biarpun mereka tahu MCA menolak hudud," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon PH Sempena PRK Dun Setia di Desa Mentari, sebentar tadi.

Nik Nazmi yang juga bekas Adun Seri Setia turut menggesa agar rakyat mengekalkan undi mereka kepada PH jika benar-benar mahukan perubahan.

Katanya, tidak dinafikan wujudnya serba sedikit kekurangan dan kelemahan pada pentadbiran kerajaan PH, namun ia tidak menenggelamkan pentadbiran cemerlang pasca PRU14.

"Malah dalam tempoh 10 tahun ini telah banyak pembangunan yang dilakukan di Selangor tetutama di kawasan Dun Seri Setia.

"Saya merayu agar rakyat teruskan sokongan kepada PH dan berikan mesej jelas rakyat mahukan Malaysia Baru, kita tolak politik pecah dan perintah serta politik perkauman.

"Mana kelemahan kecil yang ada kita akan perbaiki, saya yakin dengan kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di peringkat pusat dan Menteri Besar, Amirudin Shari di peringkat negeri, perubahan yang kita mahukan akan berhasil," katanya.