PETALING JAYA - Gara-gara mengalami tekanan darah rendah, seorang warga emas dilapor memandu dalam keadaan berbahaya, melanggar kenderaan lain dan tembok penghadang jalan di Lebuhraya Persekutuan menghala ke Klang, semalam.

Kejadian berhampiran bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) itu dirakam penunggang motosikal dan tular di media sosial sejak petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari'at berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2.15 petang, warga emas berkenaan, Ti Teow Yong, 79, yang memandu Honda CRV melanggar bahagian belakang sebuah pacuan empat roda.

Menurutnya, sebelum itu kenderaan terbabit dirakam menukar lorong ke kiri dan ke kanan dalam keadaan berbahaya hingga beberapa kali melanggar struktur konkrit penghadang jalan.

Katanya, anggota trafik yang berada di lokasi kejadian kemudian menahan kereta tersebut dan membawa pemandunya ke balai polis.

“Hasil siasatan mendapati warga emas itu berada dalam keadaan tidak sihat kerana tekanan darah rendah. Anaknya dihubungi dan datang ke balai untuk membawanya ke sebuah pusat perubatan swasta sebelum ditahan di wad untuk rawatan lanjut.

“Kes ini tular di Facebook apabila ada penunggang motosikal merakam lelaki warga emas itu memandu dalam keadaan berbahaya,” katanya kes disiasat mengikut Peraturan 10 LN 166/59 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959.

Terdahulu dalam rakaman video berdurasi 2.41 minit, kereta dipandu lelaki warga emas berkenaan dilihat ‘terhuyung-hayang’ menukar lorong ke kiri dan kanan selain melanggar struktur tembok jalan.

Penunggang motosikal yang merakam video berkenaan juga turut dirakam beberapa kali menjerit mengarahkan warga emas itu memberhentikan kenderaannya.