PUNCAK ALAM – Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) mengambil tindakan drastik dengan mengarahkan Notis Arahan Berhenti Kerja terhadap pemaju yang menyebabkan jalan kotor dan berdebu di Jalan Persiaran Puncak Alam 6.

Yang Dipertuanya, Rahilah Rahmat menegaskan, pihaknya mengambil tindakan itu berdasarkan aduan kacau ganggu yang ditimbulkan pemaju akibat kerja pembangunan.

“Notis Arahan Berhenti Kerja dikeluarkan kepada pemaju terlibat pada 2 Julai lalu untuk menghentikan kerja di kawasan terjejas dan pemaju dikehendaki menghapuskan kacau ganggu kepada persekitaran.

“Arahan itu berdasarkan peruntukan Seksyen 70A(9) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (AKTA 133) dan jika ingkar, pemaju boleh dikenakan tindakan berat.

“Ini kerana jika seseorang yang melanggar arahan atau melakukan apa-apa perbuatan bagi menghalang, jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak lebih RM50,000 atau keduanya sekali.

“Bagi suatu kesalahan yang berterusan, denda boleh meningkat sehingga RM500 bagi tiap-tiap hari kesalahan itu berterusan,” katanya ketika diminta mengulas isu aduan jalan kotor dan berdebu di Puncak Alam – Alam Jaya.