KLANG - Tindakan seorang lelaki membaling gumpalan surat saman ke arah polis dan cuba melarikan diri membawa padah apabila dia ditahan dalam Op Selamat 12 di persimpangan Jalan Banting-Pandamaran, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi, suspek berusia 51 tahun itu ditahan selepas dia tidak berhenti ketika lampu isyarat merah.

"Pemeriksaan turut mendapati suspek tidak mempunyai lesen memandu termasuk cukai jalan tamat tempoh.

"Dia juga tiada perlindungan insurans, tidak mengikat topi keledar dengan kemas serta mempunyai tiga waran tangkap Trafik," katanya melalui aplikasi WhatsApp,semalam.

Beliau berkata disebabkan kesalahan itu, suspek diminta ke balai trafik di sini bagi urusan waran tangkap, namun dia enggan.

"Dia kemudiannya bertindak melarikan diri sambil membuat provokasi terhadap anggota polis dengan membaling gumpalan kertas saman ke arah anggota bertugas.

"Pada masa sama, berlaku pergelutan antara polis dan suspek dalam usaha untuk menangkapnya," katanya.

Menurutnya, tiada sebarang kecederaan dalam pergelutan itu dan suspek berjaya dibawa ke balai untuk tindakan lanjut.

Shamsul Amar berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas rasmi.