SUBANG JAYA – Anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) ‘diserang’ seorang wanita dengan besi pengunci stereng, di Bandar Puteri, di sini Rabu lalu menerima sijil penghargaan daripada dua Adun dan MPSJ.

Adun Kinrara, Ng Sze Han berkata, sijil tersebut diberi berikutan pihaknya kagum dengan sikap Nor Safuan Nordin, 31, kelihatan tenang meskipun ditengking dan dimarahi wanita dalam rakaman video yang tular sejak Jumaat lalu.

“Bukan senang menjalankan tugas dengan adil dan tegas apatah lagi Nor Safuan berkhidmat di Unit Tunda Kenderaan yang memerlukannya berdepan kerenah orang ramai.

“Cabaran bertugas sebagai penguat kuasa ini bukan mudah. Bila jalankan tugas dengan tegas, ada yang tak gembira dikenakan tindakan tapi kalau tak tegas, orang ramai pula mengadu pihak berkuasa tempatan (PBT) tak ambil tindakan.

Menurutnya, kakitangan awam lain perlu mencontohi Nor Safuan yang bertugas di Unit Tunda dan terus berkhidmat dengan berhemah.

“Nor Safuan beritahu dia sudah biasa dimaki dan dimarahi mereka yang lakukan kesalahan. Disebabkan kagum dengan sikapnya yang tenang dan sabar itu, saya dan Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh Tseow Suan berikan sijil ini kepadanya.

“Kepada orang ramai saya nasihatkan tak perlu marah-marah anggota penguat kuasa, jika tak puas hati sebaliknya boleh buat aduan pada hari Mesra Rakyat MPSJ yang diadakan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pemberian Sijil Penghargaan kepada Nor Safuan di Ibu Pejabat MPSJ, di sini, pagi semalam.

Dalam majlis sama, MPSJ turut memberi sijil penghargaan atas kecemerlangan Nor Safuan ketika menjalankan tugas.

Timbalan Yang Dipertua MPSJ, Mohd Zulkurnain Che Ali berkata, sijil diberi berikutan Nor Safuan menunjukkan contoh yang baik untuk diikuti kakitangan lain.

“Kami melihat Nor Safuan mempunyai nilai kendiri yang tinggi, walaupun dimarahi dan ditengking wanita dalam video tersebut tapi dia masih profesional laksana tugas, apa yang dilakukan bukan saja patut dicontohi penguat kuasa MPSJ tetapi juga semua kakitangan awam di negara ini.

“Mengenai kes itu kami serahkan siasatan kepada pihak polis. Wanita berkenaan sudah minta maaf kepada Nor Safuan manakala laporan polis dibuat hanya sebagai pelindungan dan keselamatan kerana video menjadi tular di media sosial,” katanya.

Sementara itu, Nor Safuan berkata, insiden yang tular di media sosial itu bukan kali pertama dihadapinya sejak berkhidmat sebagai pembantu penguat kuasa MPSJ sejak 10 tahun lalu.

Bapa kepada seorang anak itu berkata, dia menganggap kes berkenaan sudah selesai selepas wanita itu membuat permohonan maaf.

“Bagi saya kes tu tak ada apa kerana dah biasa laluinya setiap hari, saya lapor polis atas dasar keselamatan, tak sangka ia jadi tular sebegini.

“Masa kes tu berlaku saya usaha kawal diri supaya tenang kerana berdepan dengan orang yang tengah marah,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SUBANG JAYA - Sebanyak 4,599 kes demam denggi dicatat di kawasan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) sehingga minggu ke-42 yang lalu.
  • SUBANG JAYA - “Majlis bukan tunda kenderaan sebab nak ‘cari makan’ tapi sikap segelintir pemilik letak kenderaan sesuka hati punca jalan sesak dan halang lalu lintas hingga orang ramai buat aduan,” ulas Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Mohd Zulkurnain Che Ali.
  • SUBANG JAYA - Tempoh perkhidmatan ahli Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) bagi penggal 2016/2017 yang sepatutnya berakhir 31 Disember ini akan dilanjut sehingga 30 Jun depan.
  • SUBANG JAYA - Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) memperkenalkan inisiatif teknologi baharu menerusi pelancaran tapak rintis premis makanan hijau dan sistem pencernaan anaerobik (AD), di Medan Selera USJ, di sini kelmarin.