$entry.content.caption.value
SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor mengalu-alukan hasrat Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar membantu pembeli-pembeli rumah di Ukay Bistari, Hulu Klang mendapat sijil layak menduduki bangunan (CF) dengan bersungguh-sungguh dan bukan sekadar mencari publisiti.
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Negeri Selangor, Iskandar Abdul Samad berkata, ketika ini terdapat banyak kekeliruan dan persoalan menyelubungi isu CF oleh Noh kepada pembeli-pembeli pangsapuri Residensi Bestari pada 30 Januari lalu.
“Pertama, laporan dari Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menunjukkan pemaju masih belum lagi memohon mendapat CF.
“Pada lazimnya penyerahan kunci hanya dilakukan setelah CF diperoleh atau sekurang-kurangnya CF sementara atau TCF (temporary certificate of fitness) diperoleh,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Iskandar berkata, CF akan mengambil masa untuk diperoleh kerana kelulusan-kelulusan seperti dari Jabatan Bomba memerlukan masa.
Tambah beliau, tanpa CF, meter air tidak dapat dipasang dan sudah tentu penduduk tidak dapat berpindah masuk secara sah.
Pada 27 Disember tahun lalu, kira-kira 100 pembeli unit Pangsapuri Ukay Bestari, Hulu Klang kecewa kerana gagal mendapatkan kunci rumah seperti yang dijanjikan pemaju.
Kecewa dengan sikap pemaju, mereka telah merobohkan sebahagian pagar zink untuk memasuki kawasan pangsapuri itu.
Projek perumahan Ukay Bistari yang mula dibina pada 2003 itu meliputi pembinaan 1,172 unit rumah pangsapuri dan 1,428 rumah kos rendah merupakan projek pertama Damai Bistari Sdn. Bhd dan sepatutnya siap sepenuhnya pada 2006.
Sehubungan itu, Iskandar, menasihatkan Noh yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor supaya tidak mempolitikkan masalah rakyat.
Katanya, adalah lebih baik jika Noh menumpukan masa dan tenaga menyelesaikan isu National Feedlot Corporation (NFC) yang membabitkan kementerian beliau.
“Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor telah membuktikan dapat memajukan pembinaan projek-projek terbengkalai di Ukay Bistari adalah lebih baik dari di bawah Barisan Nasional (BN).
“Kerajaan sekarang telah menjalankan pelbagai usaha untuk memastikan projek-projek terbengkalai yang ditinggalkan oleh BN di mana 30 peratus dari 141 projek terbengkalai yang ditinggalkan BN berjaya diselesaikan,” katanya.





