SHAH ALAM - Gabungan NGO-NGO Selangor menggesa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memohon maaf secara terbuka kepada semua masyarakat Bugis atas kenyataan biadabnya yang mengatakan bangsa itu sebagai lanun.

Pengerusi Gabungan NGO-NGO Selangor, Nazilah Idris berkata, kenyataan dibuat Tun Mahathir itu pada  himpunan 'Sayangi Malaysia, Hapus Kleptokrasi' anjuran Harapan amat mengecewakan dan menyinggung ramai pihak.

Malah katanya, dalam perhimpunan itu juga berlaku penghinaan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dengan menyebut asal keturunan baginda dan mengaitkan dengan kaum atau asal keturunan yang dilihat begitu mencabar dan menghina raja dan sultan serta kaum Bugis di negara ini.

“Justeru itu, pihak polis diminta menyiasat perkara ini sekali gus mengambil tindakan undang-undang terhadap penganjur perhimpunan haram itu.

“Himpunan tersebut tiada kelulusan permit daripada pihak polis selaras dengan Akta Perhimpunan Aman 2012 (AKTA 736) yang perlu mendapat kelulusan polis,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Gerakan Biru BER1 Abata Malaysia (BER1 Abata) Zahlan Ridzuan dan beberapa wakil NGO negeri ini.

Beliau menambah, tidak sepatutnya kenyataan seumpama itu boleh dizahirkan oleh seorang pemimpin yang selalu mengingatkan rakyat Malaysia supaya sentiasa hormat menghormati antara satu bangsa dengan yang lain.

"Tindakan menghina bangsa seorang pemimpin tidak harus dilakukan demi perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

"Saya sendiri berada di perhimpunan dan mendengar ucapan itu. Saya juga berdarah Bugis dan kenyataan itu sangat mengecewakan," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.