SEKINCHAN - "Nasib baik kami tak tidur kat sini, kalau tak nyawa kami pun mungkin boleh melayang," kata Zuhaini Sabrah, 46, selepas sebuah kedai barangan terpakainya rosak teruk akibat dihempap sebatang pokok, di Kampung Penerangan Parit 5, Sekinchan, tengah malam, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, pokok sebesar satu pemeluk itu tumbang hingga meranapkan struktur bahagian tengah kedai berusia lebih 10 tahun berkenaan.

Zuhaini berkata, dia dan adiknya, Mohd Zubli, 30-an, sememangnya merancang untuk bermalam di kedai itu, namun berubah fikiran di saat akhir.

"Memang kami dah cadang nak tidur saja di kedai ini, tapi tiba-tiba rasa tak sedap hati.

"Saya tak tahu nak cakap macam mana nasib kami kalau berada di kedai ini, apatah lagi pokok itu hempap kawasan ruang tidur," katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Zuhaini, kejadian berlaku ketika mereka berada di rumah adik perempuan di kampung berkenaan.  

"Kami dapat tahu lepas seorang jiran maklumkan rumah kami dihempap pokok pada jam 5 pagi tadi (semalam)," katanya.

Zuhaini berkata, selepas menyaksikan sendiri kejadian itu, dia pasrah dan memanjat kesyukuran apabila mereka diselamatkan dalam kejadian berkenaan.

Katanya, asalnya kedai itu sebuah kedai makan yang diusahakan arwah ibu bapanya sebelum menjadi tempat penjualan barangan terpakai.

Menurut Zuhaini, kedai itu juga sebelum ini pernah mengalami kejadian sama pada tahun 2012.

Menurutnya, kerja-kerja menebang dan mengalih pokok tumbang dilaksanakan Pasukan Bomba dan Penyelamat Sekinchan dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

"Saya dan adik sedang bertungkus-lumus membersihkan rumah dan berusaha untuk baikpulih kerosakan dengan segera," katanya.