AMPANG - Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di Malaysia yang menggunapakai aplikasi pembelian pas bulanan penduduk atas talian.

Yang Dipertuanya, Abd Hamid Hussain berkata, Bahagian Tempat Letak Kereta, Jabatan Pengurusan telah menyediakan kemudahan kepada penduduk Ampang Jaya khususnya bagi hakmilik strata dengan mewujudkan pembelian Pas Bulanan Penduduk (E-PBP) secara atas talian.

"Warga Ampang Jaya boleh membeli serta memperbaharui pas bulanan mereka. sistem ini diwujudkan khusus untuk kemudahan orang awam berurusan berkaitan tempat letak kereta di kawasan MPAJ,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan MPAJ telah melancarkan aplikasi MiSys Tunda bagi memudahkan orang awam menyemak pengesahan jika kereta ditunda oleh pihak berkuasa tempatan itu.

Abd Hamid berkata, orang ramai hanya boleh melayari aplikasi, semakan lokasi parkir dan bilangan hari disimpan di depoh.

"Aplikasi ini boleh digunapakai di seluruh kawasan pentadbiran MPAJ,” katanya.

Beliau berkata, antara alternatif peningkatan hasil adalah melalui pengurusan tempat letak kereta di kawasan pentadbiran MPAJ bermula pada September 2016 di mana hasil kutipan keseluruhan sehingga Ogos 2018 telah hampir mencecah RM13 juta.

"Jabatan Khidmat Pengurusan telah memikirkan kaedah-kaedah baru serta menguruskan kawasan-kawasan baru untuk meningkatkan lagi kutipan hasil. Di antaranya adalah penyediaan kemudahan MiSys Tunda,” katanya.

Kedua-dua kemudahan ini termasuk MPAJ Parking boleh dimuat turut melalui ‘Google playstore’ atau ‘appstore’,” katanya.