KUALA LUMPUR - Kelab Belia Muslim (MMYC) dengan kerjasama badan-badan bukan kerajaan India Muslim Malaysia meneruskan program tahunan penganjuran perarakan sambutan Maulidur Rasul 1439H pada 1 Disember ini.

Presidennya, Mohammad Azmi Sathakutulah berkata, perarakan sejauh lima kilometer akan bermula di perkarangan Masjid India dan dijangka tamat di Jalan Bunus berhadapan Bangunan Maybank.

Menurutnya, program kali keenam itu menyasarkan penyertaan seramai 4,000 orang.

“Pada tahun ini, pihak MMYC akan mengadakan majlis perarakan sambutan Maulidur Rasul pada tarikh tersebut bertemakan Kesatuan Ummah Kesejahteraan Negara.

“Antara jalan-jalan yang dilalui Jalan Dang Wangi, Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Tun Perak, Lebuh Ampang, Jalan Melaka dan Jalan Bunus,” katanya pada sidang media yang diadakan di Restoran ABC Bistro Jalan Masjid Jamek, di sini, semalam.

Katanya, penubuhan kelab sejak 2008 sebagai usaha menggerakkan aktiviti para pemuda di bawah satu bumbung.

“Majlis perarakan sambutan Maulidur Rasul yang diadakan setiap tahun adalah antara bukti kejayaan MMYC menganjurkan program yang besar.

“Pihak MMYC mendapat sokongan yang tidak berbelah bagi dari badan-badan bukan kerajaan India Muslim seperti Persekutuan Pertubuhan India Muslim Malaysia (Permim), Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA), United Jamaath, Persatuan Pemborong dan Peruncit Muslim Malaysia (Mawar) dan ramai lagi,” katanya.

Katanya, beliau mengalu-alukan kehadiran seluruh umat Islam tanpa mengira bangsa menunjukkan kesatuan ummah memperingati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MARANG - – Jawatankuasa Masjid Pengkalan Berangan, memilih cara berkunjung dari rumah ke rumah untuk menyampaikan sumbangan kepada 12 warga emas dan pesakit di kawasan itu, sempena program penutup sambutan Maulidur Rasul, di sini.