SHAH ALAM - Tidak dinafikan kegiatan mengutip derma di kalangan warga asing dilihat masih rapuh menemui penyelesaian.

Adakah situasi ini disebabkan penguatkuasaan yang kurang berkesan atau berpunca daripada sikap pemurah masyarakat?

Bagi mengesahkan kelompok ini masih wujud tanpa rasa bimbang dicekup pihak berkuasa, Sinar Harian turun padang membuat tinjauan di sekitar Seksyen 18 di sini yang dikatakan lokasi tumpuan peminta sedekah warga asing.

Kurang satu jam menunggu, kelihatan dua kelibat lelaki berkurta dan berkopiah dari jalan utama menjinjit beg hitam dan fail di tangan sambil berjalan laju menuju ke arah lot kedai berhampiran.

Menepati ramalan, mereka kemudiannya berpecah ke dua haluan berbeza dan mula mendekati orang ramai yang sedang menjamu selera di restoran.

Salah seorang pelanggan, Mohd Faizal, 21, ketika dihampiri Sinar Harian, berkata, individu berkenaan yang dipercayai warga Pakistan itu meminta derma sebanyak RM300, mendakwa bagi tujuan menaiktaraf sebuah pusat tahfiz daif di Afghanistan.

“Dia datang tunjuk fail dan ada senarai nama pelajar-pelajar tahfiz di sana tetapi maklumat diberi agak meragukan.

“Dia kata mereka semua hanya tinggal di khemah dan minta saya derma, kalau boleh RM300. Saya tak bagi pun,” katanya.

Berang derma tak dapat

Manakala pengalaman seorang guru dimarahi peminta derma warga asing yang mendakwa menyediakan perkhidmatan wakaf al-Quran membuktikan golongan ini semakin terdesak mencari mangsa.

Wan Amirul Naim Wan Muhd, 33, berkata, pernah dia dihampiri seorang lelaki berbangsa Arab yang naik berang apabila enggan berwakaf.

“Dia minta nak derma untuk wakafkan al-Quran bernilai ratusan ringgit. Apabila saya kata nak bagi seringgit, dia cakap tak boleh dan mula marah-marah.

“Terus saya suruh dia baca surah ringkas tapi muka dia tiba-tiba berubah macam terkejut, tak tahu. Kalau betul dari pusat tahfiz biasanya tak ada masalah nak baca. Akhirnya dia ambil juga seringgit tu dan pergi,” katanya kepada Sinar Harian.

Kelihatan pengutip derma warga asing ini sedang memujuk pelanggan untuk menghulurkan sumbangan.

Wan Amirul berkata, sebelum ini dia juga pernah dihampiri peminta sedekah warga Syria dan Thailand.

Katanya, disebabkan pernah mempunyai pengalaman berdepan dengan kumpulan peminta derma ini, dia mengingatkan orang ramai termasuk ahli keluarga supaya jangan sewenang-wenangnya menderma kepada mereka yang diragui.

“Ada juga yang mengaku datang dari Syria dan Thailand. Ada yang jual barang dan pada masa sama minta derma juga. Keluarga pun saya dah pesan jangan bagi sebarangan.

“Sebelum ni saya bagi juga sebab simpati tapi apabila dah dihebahkan di media mereka ini kebanyakannya dari sindiket tertentu, saya dah tak bagi sebab tak nak galakkan mereka,” katanya.

Guna saluran betul

Penyelia sebuah restoran, Emer Ridwan berkata, menjadi kebiasaan restoran mereka didatangi individu berbangsa asing untuk meminta derma.

Namun katanya, mereka hanya mendekati pelanggan dan sendiri juga tidak membiasakan diri menghulur duit kecuali menawarkan makanan.

“Selalu datang tapi orangnya bertukar-tukar dan selalu mereka minta pada pelanggan saja. Biasanya warga Pakistan dan Bangladesh.

“Kalau dengan saya, saya cuma tanya nak makan ke tak? Ada yang nak dan ada yang terus pergi saja," katanya.

Seorang guru, Muhd As’ad Che Cob berpendapat, sikap pemurah masyarakat menjadi salah satu punca kelompok tersebut masih berleluasa.

“Kalau betul nak derma, salurkan ia pada saluran yang betul atau siasat lebih teliti latar belakang mereka yang datang minta derma, bukan bagi terus.

“Macam saya, kalau yang datang tu makcik atau pakcik jual makanan, biasa saya akan beli barang mereka untuk bantu,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • JELI - Hasrat seorang lelaki warga asing untuk menikmati 'hasil' daripada motosikal yang dicuri tidak kesampaian selepas ditahan polis satu operasi di sini, semalam.
  • SHAH ALAM - Seramai 314 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan oleh Jabatan Imigresen Selangor dalam satu operasi di kawasan penempatan pekerja binaan di Setia Alam di sini awal pagi semalam (Rabu).
  • PANDAN MEWAH - Operasi Bersepadu Pembanterasan Warga Asing telah dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPA) dan Jabatan Imigresen Malaysia di Flat Pandan Mewah susulan aduan penduduk berkaitan kebanjiran warga asing di kawasan kediaman mereka, baru-baru ini.
  • AMPANG - Penduduk kawasan perumahan di Taman Dagang di sini mendakwa terganggu dengan bunyi bising sekumpulan warga asing yang dipercayai berpesta di sebuah dewan terbengkalai, di sini, pada waktu malam.
  • BUTTERWORTH - Polis percaya mayat lelaki yang ditemui dengan kesan kelar dan tetakan di dalam semak berhampiran Sungai Jarak, Kampung Paya Tok Akil di Tasek Gelugor, dekat sini pada Sabtu lepas adalah milik warga asing.