SHAH ALAM - Bekas AJK Cabang Kota Raja, Mikhael Iskhandaar menafikan penularan poster yang mengatakan dirinya adalah calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Sungai Kandis.

Menurutnya, setakat ini pucuk pimpinan PKR masih belum membuat sebarang keputusan rasmi berhubung siapa yang bakal menjadi calon bertanding di kerusi Sg Kandis susulan kematian penyandangnya, allahyarham Mat Shuhaimi Shafiei.

Walau bagaimanapun beliau  mengesahkan menawarkan diri sebagai calon Sungai Kandis kepada pucuk pimpinan setelah poster berkenaan tular dua hari setelah pemergian arwah Shuhaimi.

"Berat untuk saya komen berhubung isu ini memandangkan arwah baru sahaja meninggal dunia dan saya juga rapat dengan arwah namun apa yang boleh saya katakan ialah poster yang tular itu adalah palsu dan pimpinan PKR pusat masih belum membuat sebarang keputusan.

"Saya tidak menafikan penyebaran poster berkenaan mungkin ada kaitan sesama rakan dalaman parti memandangkan saya bersama arwah bercadang akan bertanding untuk pemilihan PKR Cabang Kota Raja yang dijadualkan hujung bulan ini.

"Tetapi saya diam sahaja sebab saya tidak tahu siapa yang keluarkan poster berkenaan, poster yang tersebar sebelum ini adalah tak betul dan saya tidak pernah membuat apa-apa kenyataan berhubung isu ini sebelum ini. Ini adalah kenyataan rasmi saya yang pertama," katanya ketika dihubungi Sinar Harian,hari ini.

Mengulas lanjut, Mikhael kemudiannya menjelaskan dia mengambil keputusan untuk menawarkan diri sebagai calon setelah mendapat cadangan daripada rakan-rakan terdekat, namun semuanya terpulang kepada keputusan pimpinan parti.

Mikhael berkata, setakat ini terdapat lebih kurang lima nama termasuk dirinya yang akan diteliti oleh pucuk pimpinan, namun enggan mendedahkan nama-nama berkenaan.

"Khabar angin awal itu tak betul, namun selepas ada pihak sebarkan poster saya sebagai calon Sungai  Kandis, ada beberapa kawan terdekat sarankan saya supaya terus tawarkan diri sebagai calon memandangkan saya berasal dari kawasan ini.

"Jadi saya ambil keputusan untuk tawarkan diri, tapi itu terpulang kepada pucuk pimpinan untuk membuat keputusan dan kita tetap akan akur.

"Buat masa ini apa saya nampak, daripada PKR ada lebih kurang lima nama. Namun apa yang paling penting sekarang ini ialah kita menurut apa sahaja keputusan PKR pusat," katanya.