KUALA LUMPUR –  Polis Kuala Lumpur menahan 17 remaja berusia 14 hingga 20 tahun bersabit kejadian merusuh melibatkan dua kumpulan bermotosikal sehingga menyebabkan berlaku kematian dalam kejadian pada awal pagi Ahad.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata, dalam kejadian lebih kurang jam 4.31 pagi itu, Pusat Kawalan Kuala Lumpur telah menerima aduan mengenai satu kes pergaduhan kumpulan bermotosikal di hadapan sebuah restoran makanan segera di Taman Melati, Kuala Lumpur.

Menurutnya,  bertindak atas maklumat tersebut, sebuah kereta peronda Polis (MPV) Wangsa Maju telah menghala ke tempat kejadian dan menemui satu mayat lelaki berbangsa Melayu.  

“Hasil siasatan awal mendapati pergaduhan tersebut bermula di perkarangan kawasan letak kereta sebuah stesen minyak di Taman Melati pada jam lebih kurang 4 pagi dan berlarutan ke tepi Jalan MRR2 menghala ke Gombak.

“Pergaduhan ini adalah susulan daripada kejadian pukul di Taman Tasik Titiwangsa minggu lepas di mana kumpulan mangsa telah dihampiri oleh sekumpulan lain yang membuat bising dengan memulas ‘throttle’ motosikal dan menyebabkan berlaku perselisihan faham antara kedua-dua pihak.

“Walau bagaimana pun, tiada laporan polis dibuat berhubung pergaduhan tersebut. Berikutan kejadian itu, kedua-dua pihak telah bersepakat untuk berjumpa sekali lagi di sebuah stesen minyak di Taman Melati dan tercetusnya pergaduhan melibatkan kedua-dua pihak dengan menggunakan topi keledar dan besi pengunci motosikal sebagai senjata,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Mazlan, susulan kejadian itu, seramai 17 orang telah ditahan reman bermula dari 20 Mei 2018 sehingga 26 Mei 2018 dan Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu merusuh.  

“Dua daripada tangkapan berkenaan didapati positif dadah setelah menjalani ujian saringan air kencing.

“Kini polis  masih memburu seramai 16 orang suspek yang masih bebas dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai suspek-suspek ini diminta untuk menyalurkannya kepada ASP Stephen A/L Ganeson, Pegawai Penyiasat Kanan IPD Wangsa Maju di talian 03-9289 9222 atau 016-376 7390,”katanya.