BANTING - Bunyi bising dan bau busuk najis anjing yang menimbulkan kacau ganggu kepada penduduk di sebuah pangsapuri di sini menyebabkan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) terpaksa menyerbu dan melaksanakan operasi bersepadu di sebuah unit pangsapuri itu.

Yang Dipertua MDKL, Mohamad Zain A Hamid berkata, bertindak atas maklumat orang awam, Unit Pesuruhjaya Bangunan (COB) dibantu Unit Vektor dan Penguat kuasa MDKL menyerbu pangsapuri terbabit, Khamis lalu.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati pemilik masih berdegil memelihara anjing di pangsapuri tersebut meskipun sudah dikenakan Notis Kesalahan pada 21 Mac lalu.

“Pemeliharaan anjing menyebabkan kacau ganggu bunyi dan bau busuk kepada penghuni lain.

“Disebabkan ingkar arahan notis dan tak ada lesen pelihara anjing, Unit Vektor MDKL melakukan tangkapan haiwan itu  di bawah Undang-Undang Kecil Pembiakan Dan Rumah Anjing MDKL 2007 .

Mohamad Zain dalam pada itu berharap, penduduk di daerah ini supaya dapat mematuhi peraturan dan garis panduan ditetapkan selain sentiasa menjaga sensitiviti serta keharmonian penduduk di sesuatu kawasan.