SHAH ALAM - Menteri Besar Incorporated (MBI) dan Universiti Selangor (Unisel) akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan dakwaan penyelewengan pembayaran RM16 juta oleh MBI kepada sebuah syarikat swasta.

Ketua Pegawai Eksekutif MBI Raja Shahreen Raja Othman dan Naib Canselor yang juga Presiden Unisel Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman berkata mereka juga bersedia mengemukakan semua bukti serta memberikan kenyataan bagi membantu siasatan kes tersebut.

Menurut kenyataan bersama itu hari ini, MBI dan anak-anak syarikatnya sentiasa mengamalkan konsep ketelusan dan keterbukaan dalam pentadbiran organisasi berlandaskan kepada struktur tadbir urus korporat yang baik.

“Beberapa siri perundingan dan perbincangan telah dilaksanakan oleh Unisel dan MBI, yang mana terdapat beberapa perkara yang diperhalusi dan diteliti oleh kedua-dua belah pihak dalam mencari penyelesaian sekaligus memastikan kelangsungan operasi Unisel L tidak terjejas.

“Dalam mencari jalan penyelesaian ini, asas pertimbangan utama yang dititikberatkan adalah untuk memastikan Unisel dapat menyediakan perkhidmatan pendidikan terbaik dan supaya kebajikan pelajar di Unisel dapat dibela,”kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu ia selaras dengan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan bahawa pertikaian tersebut tidak perlu dirujuk kepada mahkamah sebaliknya dirujuk kepada jawatankuasa penyelesaian pertikaian atau melalui proses timbang tara seperti yang terkandung mengikut perjanjian konsesi yang dimeterai Unisel dan syarikat terbabit.

Semalam, SPRM menggeledah lima premis di lima lokasi untuk mendapatkan maklumat dan dokumen bagi membantu siasatan dipercayai berhubung penyelesaian pertikaian kontrak di antara Unisel dan syarikat swasta tersebut.

Lima lokasi yang diserbu pasukan siasatan SPRM adalah pejabat Unisel di Shah Alam dan Bestari Jaya, pejabat syarikat itu di Desa Pandan, Kuala Lumpur dan Bestari Jaya serta pejabat MBI di Seksyen 14, Shah Alam.

Syarikat swasta itu dikatakan menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan kediaman pelajar di kampus induk Unisel di Bestari Jaya, Kuala Selangor.

Pengarah Jabatan Siasatan SPRM Datuk Simi Abd Ghani dilaporkan berkata pasukan penyiasat pergi ke lokasi-lokasi berkenaan untuk mendapatkan dokumen-dokumen berhubung siasatan kes tersebut selepas ia menerima maklumat mengenainya. –Bernama
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KOTA BHARU - Jabatan Imigresen Malaysia melancarkan skuad Cakna Bah sebagai persediaan untuk menjaga kebajikan anggota mereka sekiranya Kelantan dilanda banjir tahun ini.
  • KUALA TERENGGANU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu mengesahkan seramai 38 orang ditangkap bersabit kesalahan rasuah di Terengganu, sejak Januari sehingga kini.
  • KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih lagi menunggu Kerajaan Negeri Selangor untuk menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR).
  • ALOR SETAR - Adun Kota Darul Aman, Teoh Boon Kok tampil membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah, selepas tuntutannya terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah tidak diendahkan.
  • KOTA KINABALU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menjangkakan membuat penahanan baharu ke atas individu lain bagi membantu siasatan kes sindiket pencerobohan nelayan asing di perairan negara.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.