TANJONG KARANG – Mayat awak-awak yang dilaporkan hilang selepas bot karam akhirnya ditemui kira-kira 4.8 batu nautika dari Bagan Pasir pada jam 10.03 pagi, semalam.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjong Karang, Arbain Saarani berkata, mayat Yeoh Ah Huat, 52, ditemui terapung tidak jauh dari lokasi bot karam.

Menurutnya, penemuan mayat dengan jarak 1.8 kilometer dari lokasi bot karam itu disedari nelayan setempat yang turut membantu operasi mencari dan menyelamat sejak tiga hari lalu.

“Memang tak dinafikan sebelum ini, lokasi mayat timbul sudah diterokai pasukan yang terlibat dalam misi mencari dan menyelamat. Selalunya kes lemas seperti ini, dalam dua atau tiga hari barulah mayat timbul.

“Sebaik dimaklumkan penemuan mayat awak-awak itu, pasukan bomba terus bergerak ke lokasi dengan sebuah bot untuk mengambil mayat sebelum dibawa ke jeti Bagan Pasir,” katanya.

Arbain berkata, pengecaman mayat mangsa dibuat pemilik bot, Lim Ching Chong sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Mayat kemudiannya dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk dibedah siasat manakala Pusat Kawalan Operasi BBP Tanjong Karang ditutup pada jam 11.40 pagi,” katanya.

Sementara itu, rakan mangsa, Lim Kean Khiam, 45, tidak menafikan risiko dan bahaya yang perlu ditanggung nelayan setiap kali turun ke laut terutamanya musim tengkujuh.

“Sebab ada kes nelayan yang juga orang satu kampung dengan mangsa, jatuh tengah laut sebab ribut bulan lepas. Sebab itu dengan cuaca tak menentu sekarang ni, semua nelayan kena hati-hati. Keselamatan atas bot cukup penting, tak boleh ambil sambil lewa. Penting alat keselamatan seperti pelampung dan jaket keselamatan ketika berdepan ribut.

“Saya harap pihak berkenaan perlu pantau saiz bot yang sesuai untuk jarak yang selamat dan dibenarkan ke laut kerana bimbang saiz bot tak sesuai boleh menyebabkan karam bila dilanda ombak kuat,” katanya.

Sebelum ini, seorang awak-awak dilaporkan hilang manakala dua lagi selamat selepas bot yang dinaiki karam akibat dilanda angin kuat dan ombak besar ketika keluar menangkap ikan, kira-kira jam 9.10 pagi, Selasa lalu.

Mangsa bersama dua nelayan menaiki bot kelas B itu dipercayai hilang selepas karam dengan jarak kira-kira 3.8 batu nautika dari perairan Bagan Pasir.

Azmi menjelaskan, dua mangsa terselamat iaitu tekong bot, Lim Ching Chong, 46, dan Teoh Eng Chuan, 56.

“Mangsa terselamat dibantu nelayan yang kebetulan berada di kawasan berhampiran manakala mangsa yang dikhuatiri lemas masih dicari bersama agensi berkaitan. Operasi mencari dan menyelamat diketuai komandan operasi, Mohd Arbain Saari dengan kekuatan lapan anggota selepas menerima laporan pada jam 2.27 petang tadi,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KOTA SAMARAHAN - Setelah lima hari gerakan mencari dilancarkan, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) hanya menemui seluar dalam mangsa, yang sebelum itu dilaporkan hilang setelah dipercayai jatuh ke laut pada 16 Ogos lalu.
  • JOHOR BAHRU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) menemui mayat lelaki terapung dalam laut kira-kira enam batu nautika Timur Laut Tanjung Sedili, Kota Tinggi, semalam.
  • BATU PAHAT - Dua lelaki dilaporkan hilang manakala seorang berjaya menyelamat diri apabila bot dinaiki mereka karam ketika menangkap ikan di Empangan Bekok, Yong Peng, di sini, hari ini.
  • NIBONG TEBAL - Mayat seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh daripada sampan ketika menjala udang di Sungai Kebun Baru, Byram ditemui pagi semalam.
  • DUNGUN - Kegembiraan sekumpulan remaja mandi-manda di Air terjun Chemerong berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka ditemui lemas, semalam.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.